Thursday, September 26, 2013
AL-FATIHAH BUAT USTAZ AZIZAN
Ucapan tahziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Azizan semoga tabah menghadapinya. Kita panjatkan doa semoga rohnya bersama salafusoleh, amin.
WAJAH PAS DI AMBANG KEMENANGAN
Langitbiru terasa kebas sangat jari jemari untuk menekan keyboard komputer. Berat kerana akal mahu menulis mengenai parti PAS. Padahal, lebih wajar dan afdhal menulis mengenai kezaliman UMNO. Apa yang Langitbiru mahu tulis adalah rasa terkilan yang amat sangat melihat kempen menjelang pemilihan di muktamar tahun ini. Sudah tentu, kempen bukan dilakukan secara langsung oleh calun-calun, tetapi oleh para penyokong masing-masing.
Apa yang Langitbiru mahu highlight adalah di mana nilai-nilai syumul Islam di kalangan ahli yang berkempen? Tercicir masuk longkang? Yang digendong dan dibawa adalah sifat-sifat buruk budaya Melayu, BERPRASANGKA BURUK dan UJUB kepada ilmu dan kepakaran diri. Apakah yang mendorong berlakunya sedemikian? Kerana PAS di ambang kemenangan? Maka kuasa jadi rebutan?
Maka tepatlah jika kita meneliti Sejarah Perang Uhud, dikala pasukan mukmin di ambang kemenangan, Ghanimah perang jadi rebutan. Penyakit utama hari ini Langitbiru lihat adalah BERPRASANGKA BURUK sesama ahli. Masing-masing berprasangka "pihak lawan" ada kepentingan diri. Lebih teruk dan buruk bila berprasangka lawan adalah pengkhianat perjuangan, dan parasit dalam parti. Maka lawan ini , "wajib" dengan apa cara sekalipun disingkirkan atau dihalang dari menang dalam pemilihan nanti.
Pemilihan muktamar kali ini memperlihatkan pelbagai gelaran wujud tak kurang juga surat layang "melondeh" calun-calun tertentu. Gelaran itu macam-macam gaya menggambarkan mereka ini bukan sahaja tak layak bertanding kerusi kepimpinanan bahkan juga tak layak sebagai ahli PAS. Semuanya berpunca dari sifat BERPRASANGKA BURUK. Hadis Qudsi ada menyebut, berprasangka buruk ini sangatlah buruk, boleh merosakkan silaturrahim bahkan meruntuhkan jemaah atau organisasi. Gelaran Syiah, Pro-Sosialis sangat popular dalam ruang siber. Tak kurang juga istilah "Ular Lidi", Islam Liberal, Anti-Ulamak, Anti-Tarbiyyah, penulis buku Sesat dan rancangan jahat untuk jatuhkan DS Presiden, maka Presiden perlu dipertahankan.
Benarkah DS Presiden akan dijatuhkan? DS Presiden, TGHH akan MENANG TANPA BERTANDING, InsyaAllah. Semua ahli Parti sayang kepada Presiden. Dan semua ahli parti akan pertahankan Presiden dari segala ancaman. Sebelum kehadiran anak menantu lagi Presiden dipertahankan oleh semua ahli Parti. Maka tidak perlulah anak menantu bersingsing lengan, bersusah payah tiba tiba muncul untuk pertahankan Presiden. Kritikan bukan bermaksud berniat jahat menjatuhkan Presiden tetapi satu peringatan bersama kepada Nakhoda supaya kita semua sampai ke destinasi dengan selamat.
Apa yang Langitbiru nampak, kerana BERPRASANGKA BURUK itu, maka hilanglah rasa hormat-menghormati sesama ahli. Itu yang Langitbiru cuba sampaikan dalam artikel, "MENGADUN PAS FOR ALL", yang lama dihormati, yang baru diraikan. Ulama disanjungi, Profesional diiringi, sama sama berganding bahu macam simbiosis, lengkap melengkapi satu sama lain. Tetapi hari ini, seolah-olah ada segolongan yang mahu Kepimpinan PAS dikuasai oleh kelompok ulama sahaja, bukan Ulama tidak utama untuk memimpin. Para Ulama tidak perlu membawa hadis-hadis, ayat-ayat suci Al-Quran membuktikan betapa keutamaan Ulama memegang tampuk kepimpinan berbanding dengan bukan Ulama. itu semua ahli PAS sudah sediamaklum, dan bersetuju.
Bagaimanapun, Ulama jangan pula wujud sikap "UJUB" atau merasa bangga kepada diri sendiri, bahawasanya mereka sahaja yang layak untuk memimpin. Mereka sahaja berhak berada di kerusi kuasa. Mereka sahaja lebih alim dan bijak dalam politik. Mereka saja yang tahu segalanya. Sebab bagi Langitbiru, seorang Ulama yang benar-benar beriman dan benar-benar bertaqwa tidak akan mengaku yang dirinya adalah Ulama. ULAMA adalah SATU ANUGERAH ALLAH SWT kepada hambanya, sama seperti ULIL AMRI. Maka hakikat sebenar ULAMA dan ULUL AMRI adalah ahli syurga. Syurga bermakna Keredhaan Allah. Redha Allah adalah kepada orang yang benar-benar beriman dan benar-benar bertaqwa kepadaNya. Dan Iman dan Taqwa itu bukan berada pada mereka yang ada sijil-sijil agama, bukan boleh diukur tingginya, semua itu ada dalam pengetahuan Allah swt. SATU ANUGERAH!
Sunday, September 8, 2013
DOMINASI KEKUASAAN ULAMA DALAM PAS: "PAS FOR ULAMA"
Pandangan TGNA agar Presiden dan Timbalan Presiden semestinya dari kalangan Ulama segera mendapat maklumbalas dan liputan pelbagai pihak. Ketua Dewan Ulama, Dato' Harun Taib dengan segera menyetujui cadangan tersebut, bahkan sebelumnya, Dewan Ulama PAS Pusat, pernah mencadangkan agar jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden wajib dari kalangan Ulama. Pandangan ini adalah untuk meneruskan tradisi Kepimpinan Ulama dalam PAS.
Menyorot kembali sejarah, Kepimpinan Ulama dan Majlis Syura Ulama PAS pusat bermula pada Muktamar PAS tahun 1982. Golongan Ulama secara terbuka menentang Kepimpinan Dato' Asri, Yang Di Pertua Agung PAS Pusat, dengan slogan "Murakbar Asri". Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengemukakan usul agar Ucapan Dasar Yang Di Pertua Agung PAS ditolak kerana YDP Dato' Asri memuji Kerajaan BN (Mahathir) menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa. Usul tersebut diterima menjadi sejarah Ucapan Dasar YDP pertama ditolak oleh Muktamar. Asri berjaya "dijatuhkan" dan serentak dengan itu, Dewan Pemuda mengusul penubuhan Majlis Syura Ulama PAS yang sekaligus berfungsi sebagai Badan Kepimpinan Tertinggi selepas Muktamar. Mursyidul-Am PAS Pusat menjadi Pemimpin Tertinggi Parti. Bagi melengkapkan dominasi kekuasaan Ulama, Presiden PAS juga berjaya dipilih dari kalangan ulama iaitu Yusuf Rawa.
Kepimpinan Ulama dalam PAS sudah terjamin dengan kukuh dan kuat dalam Perlembagaan PAS, iaitu Majlis Syura Ulama PAS Pusat, sebagai Badan Kepimpinan Tertinggi PAS, disamping Mursyidul-Am PAS sebagai Pemimpin Tertinggi Pas Pusat. Ini bermakna, kekuasaan Ulama dalam kepimpinan PAS tidak boleh dan tidak akan diganggu gugat oleh sesiapa kecuali Muktamar.
Apakah monopoli atau dominasi kekuasaan kepimpinan PAS dari kalangan Ulama selama 31 tahun ini wajar diteruskan? Atau perlu pembaharuan sesuai dengan kehendak semasa masyarakat Malaysia?
Majlis Syura Ulama PAS, sebagai Badan Kepimpinan Tertinggi PAS, disamping Mursyidul-Am PAS sebagai Pemimpin Tertinggi PAS amat wajar dipertahankan dan diteruskan.
Bagi Langitbiru, terjemahan dan tafsiran Kepimpinan Ulama PAS sudah cukup memadai dengan kekuasaan Majlis Syura Ulama dan Mursyidul-Am. Dalam analogi Sistem Kenegaraan , Mursyidul-Am itu bertindak sebagai Khalifah. Manakala Presiden pula sebagai Panglima Perang yang memegang amanah Khalifah dan Negara bertempur dan berjihad di medan perang.
Presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, secara analoginya sebagai Panglima Perang dan Ketua Turus Bala Tenteranya. Panglima Perang dan Ketua Turusnya wajib dipilih dari kalangan mereka yang benar-benar ahli dan layak dalam bidang peperangan. Dalam konteks politik Malaysia, PAS berjuang dan berperang di "Padang Demokrasi Sekular". 2 kriteria utama bagi pejuang PAS mengharungi "Padang Demokrasi Sekular" iaitu keimanan/ketaqwaan yang tinggi sebagai benteng pertahanan dan ilmu pengetahuan sebagai senjata ampuh memerangi musuh. Kedua-dua kriteria itu wajib ada dalam barisan bala tentera PAS.
Rasulullah saw tidak begitu mengetahui struktur mukabumi Lembah Badar sehingga dicadangkan oleh sahabat Baginda, Khubaid memilih satu kawasan berhampiran sumber air sebagai markas perang. PAS perlu mengambil kisah Perang Badar. Inilah contoh terbaik (kombinasi lengkap-melengkapi satu sama lain) ketaqwaan (Khalifah) dan ilmu pengetahuan (ahli) menghadapi musuh di medan perang.
PAS amat memerlukan kombinasi lengkap-melengkapi satu sama lain melalui kombinasi Ulama-Profesional. Selayaknya kombinasi suami-isteri, isteri sebagai pakaian suami, suami sebagai pakaian isteri. Suami (Ulama) sebagai Ketua Rumahtangga, Isteri sebagai Pengurus Rumahtangga, masing-masing tahu tugas dan tanggungjawab yang mempunyai matlamat yang sama, kesejahteraan rumahtangga dunia dan akhirat.
PROFESIONAL SEBAGAI PELENGKAP ATAU PERKAKAS?
Kita sudah sediamaklum, Badan Kepimpinan Tertinggi PAS adalah Majlis Syura Ulama. Mursyidul-Am sebagai Pemimpin Tertinggi Parti. Majlis Syura Ulama semuanya adalah Ulama, tiada seorangpun dari kalangan profesional. Di samping Majlis Syura Ulama, PAS juga ada Dewan Ulama PAS Pusat. Walaupun Dewan Ulama adalah Dewan Harian, tetapi realitinya dilihat sebagai Dewan yang sangat berpengaruh dan berkuasa. Ini kerana sebahagian besar Ahli Dewan Ulama PAS juga menganggotai Majlis Syura Ulama. Bermakna, Dewan Ulama PAS secara realitinya adalah Badan Kepimpinan Kedua Tertinggi PAS. Andaikata diteruskan secara tradisi, Presiden dan Timbalan Presiden wajib dari kalangan Ulama, maka Ulama mempunyai kuasa sangat DOMINAN.
Logiknya, jika Ulama terlalu sangat dominan kekuasaannya, kehadiran bukan ulama atau profesional sebenarnya tidak lagi berfungsi sebagai pelengkap kepimpinan parti, dengan kata lain profesional tidak begitu diperlukan dalam organisasi Kepimpinan PAS. Profesional hanya layak melaksanakan segala arahan parti (Ulama). Istilah kombinasi atau keseimbangan Ulama-Profesional tidak akan menjadi kenyataan jika sebelah pihak terlalu dominan kuasanya.
Monopoli atau dominasi kuasa Kepimpinan Ulama ini seolah-olah wujud tembok pemisah antara Ulama dan Profesional. Seolah-olah wujud sistem kasta dalam PAS. Seolah-olah keimanan dan ketaqwaan itu diukur melalui sijil-sijil sarjana, master atau PhD Pengajian Islam, atau Lepasan Tinggi Pondok. Seolah-olah profesional itu lebih rendah atau tidak setaraf keimanan dan ketaqwaan mereka berbanding mereka yang ada sijil agama. Dengan itu, profesional tidak boleh diyakini dan dipercayai untuk menerajui kepimpinan. Jika begini persepsi para ulama kepada profesional, bermakna para ulama memandang profesional sebagai perkakas, bukan pelengkap!
Jika demikian keadaannya, slogan "PAS for All" tidak lagi relevan sebaliknya lebih sesuai sigantikan "PAS for Ulama"
Wednesday, September 4, 2013
MENGADUN "PAS FOR ALL" (BHG 2)
Pada Bhg.1, Langitbiru menulis "Konsep Kepimpinan Ulama'" mencapai kemuncaknya pada PRU1999 di mana PAS memenangi 27 kerusi Parlimen, berjaya merampas Terengganu dan mengekalkan Kelantan. Benarkah 'Konsep Kepimpinan Ulama'" mencapai kemuncak kejayaaan pada 1999?
1998, Anwar Ibrahim yang pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ditangkap dan disumbat ke penjara oleh Rejim Mahathir. Mahathir dikenali sebagai "MahaFiraun" di ruang maya siber. Episod "Mata Lebam" Anwar ditumbuk oleh Ketua Polis Negara, Rahim Noor sebenarnya menjadi bahan kempen utama di ruang siber dan pentas-pentas politik semasa PRU1999. Tidak lain tidak bukan adalah hujah hujah menunjukkan betapa zalimnya para pemimpin UMNO terhadap Anwar Ibrahim. Kes Anwar Ibrahim ini telah meletuskan satu FENOMENA POLITIK yang sangat ketara dan signifikan betapa wajah sebenar UMNO sebagai "penganut sekular" dengan sendirinya ditunjukkan oleh Allah swt. Para Ulama' khususnya dari PAS telah mengekploitasikan sepenuhnya kezaliman Mahathir ini sebagai bukan cara Islam yang adil.
Kita sudah melihat, "Konsep Kepimpinan Ulama'" yang diasaskan oleh bekas pemimpin tertinggi ABIM, Ustaz Fadhil Noor, Ustaz Nakhaei, dan Hj Hadi pada tahun 1982, tahun yang sama Anwar Ibrahim juga dari ABIM menyertai UMNO. Selepas 16 tahun, Anwar Ibrahim berjaya memanjat tampuk kuasa no 2 dalam hierarki UMNO menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Itu adalah Kemuncak Anwar Ibrahim di persada politik tanah air. Kejatuhan Anwar Ibrahim tiada kena-mengena dengan Konsep Kepimpinan Ulama dalam PAS, tetapi kerana tindakan Mahathir yang zalim.
PAS mengecapi kemanisan politik yang cukup memberangsangkan diatas kesedaran politik atau Fenomena Politik di sebalik pemecatan Anwar Ibrahim. Sejak PAS ditubuhkan hingga 1998 iaitu selama 47 tahun, dianggarkan keahlian PAS adalah 800,000 orang. Dari tahun 1999 hingga 2013 iaitu selama 14 tahun, ahli PAS dianggarkan meningkat seramai 500,000 orang. Ini menjadikan PAS sebuah 'PARTI BARU' yang terdiri dari pelbagai latarbelakang. PAS bukan lagi dianggotai oleh mereka yang berpendidikan agama tetapi pelbagai latar pendidikan. Kemasukan kakitangan kerajaan, ahli akedemik, agamawan dari Universiti serta golongan profesional pasca pemecatan Anwar Ibrahim memberi 'imej baru' kepada PAS.
Di sebalik pertambahan ahli PAS secara mendadak itu, PAS menghadapi 'sedikit masalah' untuk mentarbiyahkan ahli-ahli baru yang sudah mempunyai latarbelakang ilmu dan pendirian masing-masing, mempunyai ego mereka tersendiri. Di sinilah bijaknya Ustaz Fadhil Noor yang dapat menghidu dengan cepat apa yang sedang berlaku dan apa yang akan berlaku. Kebolehan ini adalah satu anugerah Allah kepada Ustaz Fadhil Noor. Beliau menguasai Ilmu Fiqh Keutamaan dan Ilmu Fiqh Futuristic yang cukup hebat. Kita masih ingat pesanan Ustaz Fadhil kepada sahabat karibnya, Anwar Ibrahim, sewaktu Anwar Ibrahim bertekad masuk UMNO. Kata Ustaz Fadhil, "Anta akan dianianya". Kemudian sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kanan, Ustaz Fadhil mengulangi lagi, "Anta akan dianianya." Kali ketiganya ketika Anwar Ibrahim mula menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, diingatkan Anwar Ibrahim lagi, "Anta akan dianianya." Kemudiannya, Anwar Ibrahim benar-benar dianianya. Dalam menangani kepelbagaian ahli PAS, Ustaz Fadhil mengemukakan pendekatan "Memprofesionalkan Ulama dan Mengulamakan Profesional". Satu pendekatan yang sangat tepat dan baik.
Konsep yang dibawa oleh Ustaz Fadhii tersebut ternyata berjaya membentuk "fikrah bersama, fikrah yang satu" walaupun berbeza latarbelakang pendidikan dan profesyen. PAS berjaya bergerak dalam sebuah bahtera yang aman dan tenteram kerana persefahaman yang sangat baik di kalangan anak kapalnya. Kepimpinan Ustaz Fadhil yang sederhana tetapi tegas dan tetap pendiriannya menyebabkan beliau dihormati oleh lawan dan kawan. Pemecatan Anwar Ibrahim memberi lonjakan politik yang sangat baik kepada PAS, khususnya Kepimpinan Ustaz Fadhil Noor.
Maka tidak dinafikan tahun 1999 adalah kemuncak Kepimpinan Ustaz Fadhil Noor (dan PAS), kemuncak Konsep Kepimpinan Ulama. PAS mencipta sejarah tersendiri dengan 27 kerusi Parlimen pada tahun 1999.
Lontaran Konsep "Memprofesionalkan Ulama dan Mengulamakan Profesional" oleh Fadhil Noor memenuhi aspirasi "PAS FOR ALL". Kesemua ahli merasakan PAS adalah hak bersama, tidak khusus untuk golongan agama sahaja tetapi untuk semua tanpa mengira latarbelakang ahli. Ianya satu formula adunan yang baik, seimbang yang menghasilkan produk (kepimpinan) yang boleh diterima dengan baik oleh masyarakat dan rakyat. ianya menunjukkan PAS bersedia melalui anjakan paradigma yang sensitif, terbuka dan dinamik sesuai dengan kehendak masyarakat umum. PAS di bawah Ustaz Fadhil Noor tidak lagi dilihat bersifat jumud atau terlalu konservatif. Bagi bukan Islam, PAS tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti yang membawa kepada fahaman kenegaraan Teokrasi Islam.
Formula adunan "PAS FOR ALL" ini amat wajar diteruskan dan diperkasakan oleh Kepimpinan PAS.
Andaikata wujud satu golongan yang ingin mendominasikan kepimpinan PAS kepada kumpulan pemikiran tertentu, sudah pasti apa yang disemai oleh Ustaz Fadhil Noor ini akan rosak, dan yang lebih penting impaknya, produk (kepimpinan) itu ditolak oleh masyarakat dan rakyat.
Dalam mendepani cabaran semasa, kepimpinan juga wajib menunjukkan perhargaan kepada golongan lama PAS, seperti "Ahli Badar" dan "Ahli Uhud" PAS, disamping meraikan orang baru PAS. Penghargaan ini perlu diterjemahkan kepada Keanggotaan Kepimpinan PAS, bermakna kepimpinan PAS itu diterajui oleh orang lama, orang baru, para ulama dan golongan profesional. Keseimbangan ini wajib dikekalkan, Konsep "Memprofesionalkan Ulama dan Mengulamakan Profesional" perlu diperkasakan.
Subscribe to:
Posts (Atom)