Wednesday, September 4, 2013

MENGADUN "PAS FOR ALL" (BHG 2)



Pada Bhg.1, Langitbiru menulis "Konsep Kepimpinan Ulama'" mencapai kemuncaknya pada PRU1999 di mana PAS memenangi 27 kerusi Parlimen, berjaya merampas Terengganu dan mengekalkan Kelantan. Benarkah 'Konsep Kepimpinan Ulama'" mencapai kemuncak kejayaaan pada 1999? 

1998, Anwar Ibrahim yang pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ditangkap dan disumbat ke penjara oleh Rejim Mahathir. Mahathir dikenali sebagai "MahaFiraun" di ruang maya siber. Episod "Mata Lebam" Anwar ditumbuk oleh Ketua Polis Negara, Rahim Noor sebenarnya menjadi bahan kempen utama di ruang siber dan pentas-pentas politik semasa PRU1999. Tidak lain tidak bukan adalah hujah hujah menunjukkan betapa zalimnya para pemimpin UMNO terhadap Anwar Ibrahim. Kes Anwar Ibrahim ini telah meletuskan satu FENOMENA POLITIK yang sangat ketara dan signifikan betapa wajah sebenar UMNO  sebagai "penganut sekular" dengan sendirinya ditunjukkan oleh Allah swt. Para Ulama' khususnya dari PAS telah mengekploitasikan sepenuhnya kezaliman Mahathir ini sebagai bukan cara Islam yang adil.

Kita sudah melihat, "Konsep Kepimpinan Ulama'" yang diasaskan oleh bekas pemimpin tertinggi ABIM, Ustaz Fadhil Noor, Ustaz Nakhaei, dan Hj Hadi pada tahun 1982, tahun yang sama Anwar Ibrahim juga dari ABIM menyertai UMNO.  Selepas 16 tahun, Anwar Ibrahim berjaya memanjat tampuk kuasa no 2 dalam hierarki UMNO menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Itu adalah Kemuncak Anwar Ibrahim di persada politik tanah air. Kejatuhan Anwar Ibrahim tiada kena-mengena dengan Konsep Kepimpinan Ulama dalam PAS, tetapi kerana tindakan Mahathir yang zalim. 

PAS mengecapi kemanisan politik yang cukup memberangsangkan diatas kesedaran politik atau Fenomena Politik di sebalik pemecatan Anwar Ibrahim. Sejak PAS ditubuhkan hingga 1998 iaitu selama 47 tahun, dianggarkan keahlian PAS adalah 800,000 orang. Dari tahun 1999 hingga 2013 iaitu selama 14 tahun, ahli PAS dianggarkan meningkat seramai 500,000 orang. Ini menjadikan PAS sebuah 'PARTI BARU' yang terdiri dari pelbagai latarbelakang. PAS bukan lagi dianggotai oleh mereka yang berpendidikan agama tetapi pelbagai latar pendidikan. Kemasukan kakitangan kerajaan, ahli akedemik, agamawan dari Universiti serta golongan profesional pasca pemecatan Anwar Ibrahim memberi 'imej baru' kepada PAS. 

Di sebalik pertambahan ahli PAS secara mendadak itu, PAS menghadapi 'sedikit masalah' untuk mentarbiyahkan ahli-ahli baru yang sudah mempunyai latarbelakang ilmu dan pendirian masing-masing, mempunyai ego mereka tersendiri. Di sinilah bijaknya Ustaz Fadhil Noor yang dapat menghidu dengan cepat apa yang sedang berlaku dan apa yang akan berlaku. Kebolehan ini adalah satu anugerah Allah kepada Ustaz Fadhil Noor. Beliau menguasai Ilmu Fiqh Keutamaan dan Ilmu Fiqh Futuristic yang cukup hebat. Kita masih ingat pesanan Ustaz Fadhil kepada sahabat karibnya, Anwar Ibrahim, sewaktu Anwar Ibrahim bertekad masuk UMNO. Kata Ustaz Fadhil, "Anta akan dianianya". Kemudian sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kanan, Ustaz Fadhil mengulangi lagi, "Anta akan dianianya." Kali ketiganya ketika Anwar Ibrahim mula menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, diingatkan Anwar Ibrahim lagi, "Anta akan dianianya." Kemudiannya, Anwar Ibrahim benar-benar dianianya. Dalam menangani kepelbagaian ahli PAS, Ustaz Fadhil mengemukakan pendekatan "Memprofesionalkan Ulama dan Mengulamakan Profesional". Satu pendekatan yang sangat tepat dan baik. 

Konsep yang dibawa oleh Ustaz Fadhii tersebut ternyata berjaya membentuk "fikrah bersama, fikrah yang satu" walaupun berbeza latarbelakang pendidikan dan profesyen. PAS berjaya bergerak dalam sebuah bahtera yang aman dan tenteram kerana persefahaman yang sangat baik di kalangan anak kapalnya.  Kepimpinan Ustaz Fadhil yang sederhana tetapi tegas dan tetap pendiriannya menyebabkan beliau dihormati oleh lawan dan kawan. Pemecatan Anwar Ibrahim memberi lonjakan politik yang sangat baik kepada PAS, khususnya Kepimpinan Ustaz Fadhil Noor. 

Maka tidak dinafikan tahun 1999 adalah kemuncak Kepimpinan Ustaz Fadhil Noor (dan PAS), kemuncak Konsep Kepimpinan Ulama. PAS mencipta sejarah tersendiri dengan 27 kerusi Parlimen pada tahun 1999. 

Lontaran Konsep "Memprofesionalkan Ulama dan Mengulamakan Profesional" oleh Fadhil Noor memenuhi aspirasi "PAS FOR ALL". Kesemua ahli merasakan PAS adalah hak bersama, tidak khusus untuk golongan agama sahaja tetapi untuk semua tanpa mengira latarbelakang ahli. Ianya satu formula adunan yang baik, seimbang yang menghasilkan produk (kepimpinan) yang boleh diterima dengan baik oleh masyarakat dan rakyat. ianya menunjukkan PAS bersedia melalui anjakan paradigma yang sensitif, terbuka dan dinamik sesuai dengan kehendak masyarakat umum. PAS di bawah Ustaz Fadhil Noor tidak lagi dilihat bersifat jumud atau terlalu konservatif. Bagi bukan Islam, PAS tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti yang membawa kepada fahaman kenegaraan Teokrasi Islam.


Formula adunan "PAS FOR ALL" ini amat wajar diteruskan dan diperkasakan oleh Kepimpinan PAS. 

Andaikata wujud satu golongan yang ingin mendominasikan kepimpinan PAS kepada kumpulan pemikiran tertentu, sudah pasti apa yang disemai oleh Ustaz Fadhil Noor ini akan rosak, dan yang lebih penting impaknya, produk (kepimpinan) itu ditolak oleh masyarakat dan rakyat.  

Dalam mendepani cabaran semasa, kepimpinan juga wajib menunjukkan perhargaan kepada golongan lama PAS, seperti "Ahli Badar" dan "Ahli Uhud" PAS, disamping meraikan orang baru PAS. Penghargaan ini perlu diterjemahkan kepada Keanggotaan Kepimpinan PAS, bermakna kepimpinan PAS itu diterajui oleh orang lama, orang baru, para ulama dan golongan profesional. Keseimbangan ini wajib dikekalkan, Konsep "Memprofesionalkan Ulama dan Mengulamakan Profesional" perlu diperkasakan.

No comments:

Post a Comment