“Isu 2
Adun PAS yang menyokong PKR dan DAP berkenaan isu MB Selangor sejak
kebelakangan ini benar-benar menjolok kesabaran ahli-ahli PAS yang prihatin
dengan adab-adab berjamaah seperti yang dianjurkan oleh Islam.
Keputusan
Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 6hb Ogos 2014 yang telah mengambil
ketetapan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) sebagai Menteri Besar
Selangor selagi tidak berlaku pelanggaran amanah telah sewenang-wenangnya dilanggar
secara terang-terangan oleh kedua-dua Adun tersebut.
Kesan
secara teknikalnya TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB kerana bilangan
majoriti adun tidak lagi memihak kepada beliau. PKR dan DAP yang hanya
mempunyai bilangan 28 Adun menyokong telah bertambah menjadi 30 Adun. Secara
teknikalnya TSKI hanya mempunyai sokongan 26 adun termasuk 13 adun PAS dan 12
Adun Umno yang menyokong tanpa syarat. TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai
MB dalam situasi dan realiti ini. Ia mentafsirkan kenapa mesyuarat jawatankuasa
PAS Pusat memutuskan untuk menghantar dua nama sebagai calon MB menggantikan
TSKI”. ( YB Dato DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI, Wednesday, 03 September 2014)
Assalamualaikum
YB Dato DR Mohd Khairuddin,
Izinkan
saya bertanyakan beberapa soalan dan sedikit pandangan mengenai Kemelut MB
Selangor, dan kemana PAS mahu dibawa.
Saya
cuma ahli cabuk biasa, tiada apa apa jawatan penting dalam Parti Pas. Saya
hanya seorang pengamal perubatan moden, bukan doktor PhD dalam ilmu agama. Jadi,
saya tiada belajar ilmu wahyu, ilmu tafsir Al-Quran, ilmu hadis, ilmu fekah,
ilmu muamalat dan sebagainya. Jadi, saya
samasekali tidak mempertikaikan Ilmu Agama para Alim Ulama dalam Parti Pas.
Saya hanya melihat dari sudut pandangan politik, sudut yang sangat subjektif
dan dinamik.
Presiden
dan Majlis Syura Ulama Pas telah mengambil ketetapan untuk mengekalkan TSKI
sebagai MB Selangor, KETIKA TSKI masih ahli parti PKR.
a.
Secara teknikalnya, nisbah kedudukan
Kerajaan Selangor dan Pembangkang pada masa itu adalah 28:28. Sekaligus menjadi
sebuah Kerajaan yang lemah dari segi metematik demokrasinya.
b.
Seperti YB Dato DR Khairuddin
menulis, secara teknikalnya TSKI mempunyai sokongan 28 Adun termasuk 15 Adun
Pas dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat.
c.
Dalam Dewan DUN, TSKI dengan
sokongan PAS dan UMNO sebagai Kerajaan, duduk dalam satu barisan atau blok,
menghadapi Pembangkang (DAP dan PKR), iaitu rakan sekutu PAS dalam Pakatan
Rakyat.
Saya ingin
bertanya;
i.
Ke
mana PAS mahu dibawa dalam keadaan di atas?
ii.
Kenapa
PAS bersandarkan kepada kekuatan 12 Adun UMNO yang menyokong tanpa syarat dalam
usaha mengekalkan TSKI? Adakah PAS mencari Kekuatan di sisi UMNO?
iii.
Apakah
PAS langsung tiada ragu-ragu bilamana UMNO menyokong TSKI (dan PAS) tanpa
syarat?
iv.
Dalam
politik, PAS masih terikat kepada Tahaluf-Siyasi bersama PKR dan DAP dalam Pakatan
Rakyat. Tetapi dalam DUN Selangor di atas, PAS dan UMNO yang menyokong TSKI
menghadapi rakan sekutu dalam PR. Adakah keadaan seperti ini pernah berlaku
dalam Sirah Rasulullah saw? Adakah keadaan ini tidak bertentangan dengan
perjanjian Tahaluf-Siyasi PR?
v.
Adakah
posisi strategik politik ini posisi yang terbaik untuk PAS menentang kezaliman
UMNO?
Pandangan saya;
PERSIMPANGAN
UTAMA adalah sokongan tanpa syarat 12 Adun UMNO kepada TSKI dan PAS, dalam
membentuk “Kerajaan Baru” Selangor. Tiada menjadi masalah besar kepada seluruh
ahli PAS jika sokongan tanpa syarat 12 Adun tersebut adalah dari Bebas, bukan
UMNO.
Sebagaimana YB
Dato DR Khairuddin sediamaklum, semua ahli PAS “allergic” atau “alahan” bila
mendengar perkataan UMNO. Saya sebagai orang awam biasa, hanya mampu dan berani
menyatakan UMNOBN sebuah Kerajaan yang zalim. Akan tetapi, terdapat Alim Ulama
Pas yang melabelkan Kerajaan UMNOBN sebagai Kerajaan “Toghut” yang “Fasiq”, “Munafik”,
dan “Kafir”. Jadi, bagaimana mungkin untuk PAS duduk dalam satu “Kerajaan Baru”
bersama UMNOBN yang “Toghut”, “Fasiq”, “Munafik” dan “Kafir”?
YB Dato DR Khairuddin,
Teringat saya
kepada Kisah Perang Badar Al-Qubra.
Rasulullah saw mendahului kaum musyrikin, memilih
satu tempat berdekatan dengan perigi di Lembah Badar. Di masa itu al-Habab bin al-Munzir,
bertanya kepada Rasulullah, “apakah kawasan yang kita bertempat sekarang ini
suatu yang sudah ditunjukkan oleh Allah hingga tidak boleh kita maju atau ke
belakang selangkah pun? Atau apakah ianya sebagai pemilihan strategi dan
taktik?” Jawab Rasulullah: “lanya adalah strategi dan taktik semata-mata?”
Kata al-Habab: “Kalau demikian ya
Rasulullah, lanya bukan tempat yang sesuai, tuan hamba boleh berpindah bersama
sekalian tentera ke perairan kaum musyrikin, kita timbuskan dan musnahkan kolah
yang di tepiannya dan kita bina pula takungan, kemudian dipenuhkan dengan air
hingga dengan itu semasa bertempor nanti kita akan minum manakala kaum
musyrikin dalam kekeringan dan kehausan”, kata Rasulullah (s.a.w): “Kau
telah memberi pendapat yang baik”.
Apa pengajaran yang kita boleh ambil dari soal
jawab al-Habab dengan Rasulullah saw? YB Dato DR Khairuddin lebih arif dan
lebih mengetahui.
Maka saya juga ingin bertanya, “Apakah posisi strategik
PAS (Presiden dan Majlis Syura) menyokong TSKI dengan bersandarkan sokongan
tanpa syarat 12 Adun UMNO ini muktamad hingga tidak boleh kita maju atau ke
belakang selangkah pun?
Kemana PAS mahu dibawa dalam keadaan ini?
Saya memohon maaf jika pertanyaan saya dan
pandangan saya ini dianggap tiada adab dalam berjemaah. Tiada niat saya untuk
tidak wala’ atau ingkar kepada Presiden dan Majlis Syura. Hanya sekadar
bertanya dan memberi pandangan.
Terimakasih.