Wednesday, September 3, 2014

Ke mana PAS mahu dibawa?



“Isu 2 Adun PAS yang menyokong PKR dan DAP berkenaan isu MB Selangor sejak kebelakangan ini benar-benar menjolok kesabaran ahli-ahli PAS yang prihatin dengan adab-adab berjamaah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 6hb Ogos 2014 yang telah mengambil ketetapan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak berlaku pelanggaran amanah telah sewenang-wenangnya dilanggar secara terang-terangan oleh kedua-dua Adun tersebut.

Kesan secara teknikalnya TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB kerana bilangan majoriti adun tidak lagi memihak kepada beliau. PKR dan DAP yang hanya mempunyai bilangan 28 Adun menyokong telah bertambah menjadi 30 Adun. Secara teknikalnya TSKI hanya mempunyai sokongan 26 adun termasuk 13 adun PAS dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat. TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini. Ia mentafsirkan kenapa mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menghantar dua nama sebagai calon MB menggantikan TSKI”. ( YB Dato DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI, Wednesday, 03 September 2014)

Assalamualaikum YB Dato DR Mohd Khairuddin,

Izinkan saya bertanyakan beberapa soalan dan sedikit pandangan mengenai Kemelut MB Selangor, dan kemana PAS mahu dibawa. 

Saya cuma ahli cabuk biasa, tiada apa apa jawatan penting dalam Parti Pas. Saya hanya seorang pengamal perubatan moden, bukan doktor PhD dalam ilmu agama. Jadi, saya tiada belajar ilmu wahyu, ilmu tafsir Al-Quran, ilmu hadis, ilmu fekah, ilmu muamalat dan sebagainya.  Jadi, saya samasekali tidak mempertikaikan Ilmu Agama para Alim Ulama dalam Parti Pas. Saya hanya melihat dari sudut pandangan politik, sudut yang sangat subjektif dan dinamik.   

Presiden dan Majlis Syura Ulama Pas telah mengambil ketetapan untuk mengekalkan TSKI sebagai MB Selangor, KETIKA TSKI masih ahli parti PKR. 

a.       Secara teknikalnya, nisbah kedudukan Kerajaan Selangor dan Pembangkang pada masa itu adalah 28:28. Sekaligus menjadi sebuah Kerajaan yang lemah dari segi metematik demokrasinya.
b.      Seperti YB Dato DR Khairuddin menulis, secara teknikalnya TSKI mempunyai sokongan 28 Adun termasuk 15 Adun Pas dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat.  
c.       Dalam Dewan DUN, TSKI dengan sokongan PAS dan UMNO sebagai Kerajaan, duduk dalam satu barisan atau blok, menghadapi Pembangkang (DAP dan PKR), iaitu rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat.

Saya ingin bertanya;

i.                    Ke mana PAS mahu dibawa dalam keadaan di atas?
ii.                  Kenapa PAS bersandarkan kepada kekuatan 12 Adun UMNO yang menyokong tanpa syarat dalam usaha mengekalkan TSKI? Adakah PAS mencari Kekuatan di sisi UMNO?
iii.                Apakah PAS langsung tiada ragu-ragu bilamana UMNO menyokong TSKI (dan PAS) tanpa syarat?
iv.                Dalam politik, PAS masih terikat kepada Tahaluf-Siyasi bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Tetapi dalam DUN Selangor di atas, PAS dan UMNO yang menyokong TSKI menghadapi rakan sekutu dalam PR. Adakah keadaan seperti ini pernah berlaku dalam Sirah Rasulullah saw? Adakah keadaan ini tidak bertentangan dengan perjanjian Tahaluf-Siyasi PR?
v.                  Adakah posisi strategik politik ini posisi yang terbaik untuk PAS menentang kezaliman UMNO?

Pandangan saya;

PERSIMPANGAN UTAMA adalah sokongan tanpa syarat 12 Adun UMNO kepada TSKI dan PAS, dalam membentuk “Kerajaan Baru” Selangor. Tiada menjadi masalah besar kepada seluruh ahli PAS jika sokongan tanpa syarat 12 Adun tersebut adalah dari Bebas, bukan UMNO. 

Sebagaimana YB Dato DR Khairuddin sediamaklum, semua ahli PAS “allergic” atau “alahan” bila mendengar perkataan UMNO. Saya sebagai orang awam biasa, hanya mampu dan berani menyatakan UMNOBN sebuah Kerajaan yang zalim. Akan tetapi, terdapat Alim Ulama Pas yang melabelkan Kerajaan UMNOBN sebagai Kerajaan “Toghut” yang “Fasiq”, “Munafik”, dan “Kafir”. Jadi, bagaimana mungkin untuk PAS duduk dalam satu “Kerajaan Baru” bersama UMNOBN yang “Toghut”, “Fasiq”, “Munafik” dan “Kafir”? 

YB Dato DR Khairuddin, 

Teringat saya kepada Kisah Perang Badar Al-Qubra. 

Rasulullah saw mendahului kaum musyrikin, memilih satu tempat berdekatan dengan perigi di Lembah Badar. Di masa itu al-Habab bin al-Munzir, bertanya kepada Rasulullah, “apakah kawasan yang kita bertempat sekarang ini suatu yang sudah ditunjukkan oleh Allah hingga tidak boleh kita maju atau ke belakang selangkah pun? Atau apakah ianya sebagai pemilihan strategi dan taktik?” Jawab Rasulullah: “lanya adalah strategi dan taktik semata-mata?” 

Kata al-Habab: “Kalau demikian ya Rasulullah, lanya bukan tempat yang sesuai, tuan hamba boleh berpindah bersama sekalian tentera ke perairan kaum musyrikin, kita timbuskan dan musnahkan kolah yang di tepiannya dan kita bina pula takungan, kemudian dipenuhkan dengan air hingga dengan itu semasa bertempor nanti kita akan minum manakala kaum musyrikin dalam kekeringan dan kehausan”, kata Rasulullah (s.a.w): “Kau telah memberi pendapat yang baik”.

Apa pengajaran yang kita boleh ambil dari soal jawab al-Habab dengan Rasulullah saw? YB Dato DR Khairuddin lebih arif dan lebih mengetahui. 

Maka saya juga ingin bertanya, “Apakah posisi strategik PAS (Presiden dan Majlis Syura) menyokong TSKI dengan bersandarkan sokongan tanpa syarat 12 Adun UMNO ini muktamad hingga tidak boleh kita maju atau ke belakang selangkah pun?

Kemana PAS mahu dibawa dalam keadaan ini?

Saya memohon maaf jika pertanyaan saya dan pandangan saya ini dianggap tiada adab dalam berjemaah. Tiada niat saya untuk tidak wala’ atau ingkar kepada Presiden dan Majlis Syura. Hanya sekadar bertanya dan memberi pandangan.  

Terimakasih.

No comments:

Post a Comment