Sunday, August 18, 2013

KERAJAAN PERPADUAN (UG) BN-PKR: PKR PERLU KELUAR DARI PAKATAN RAKYAT.

PAS dan DAP memberi penghormatan yang cukup tinggi kepada DSAI selaku "Ketua" Pakatan Rakyat, dengan memberi laluan kepada DSAI menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen untuk 2 penggal berturut-turut. Bagaimanapun, rundingan rahsia antara DSAI atau wakilnya, dengan DSNR atau wakilnya, ke arah perjanjian  damai politik dan pembentukan Kerajaan Perpaduan (UG) PKR-BN, adalah satu pengkhianatan  kepada Semangat Setiakawan, Perjanjian Persefahaman dan Kerjasama Politik antara parti PKR dan PAS/DAP.

DSAI sendiri memberitahu portal berita Asia Sentinel mengiyakan "pembangkang" berbincang SECARA RAHSIA dengan Perdana Menteri Mohd Najib untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. Siapa "pembangkang" yang dimaksudkan Anwar? Adakah "pembangkang" ini bermaksud PAS,DAP,dan PKR? Atau hanya PKR? Ternyata, "pembangkang" yang dimaksudkan Anwar adalah PKR tanpa PAS dan DAP. Sebab, PAS dan DAP langsung tidak tahu menahu rundingan RAHSIA antara Setiausaha Agung PKR, Sdr Saifudin Nasution dan wakil Najib, Zahid Hamidi. PAS tidak pernah memberi "WATIKAH KUASA" kepada Anwar berunding dgn UMNOBN bagi pihak PAS. Rundingan tanpa pengetahuan PAS/DAP itulah dinamakan RUNDINGAN RAHSIA.  

Inilah kali ke 2, Anwar membocor RAHSIA pertemuan dan rundingan antara beliau, atau orang perantaraan beliau dengan Najib atau orang perantaraan Najib. 

PERTEMUAN RAHSIA SEBELUM PRU13.
Kali pertama, adalah bulan April 2013, sebelum PRU13, di mana pertemuan rundingan berlaku melalui orang tengah, bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, kononnya kedua-dua belah pihak bersetuju menerima segala keputusan PRU13. Pada awalnya, pendedahan tersebut mendapat reaksi negatif bagi aktivis parti khususnya PAS. Aktivis PAS melihat tiada keperluan mendesak untuk Anwar berunding dengan Najib tatkala Jentera Pilihanraya Parti bekerja bertungkus lumus untuk kemenangan. Kemudiannya, pada Majlis Angkat Sumpah dan Sidang Pertama Parlimen, Anwar dan Najib duduk bersama dalam keadaan cukup mesra. Sudah pasti, blogger PKR memuji Ketua Umumnya bersikap profesional dan matang. 

Amat mengejutkan bila majalah The Edge Review mendedahkan ,mereka sudah menyiarkan berita mengenai kemungkinan perjanjian damai antara Najib dan Anwar pada April 2013, tetapi ia tidak diendahkan oleh media arus perdana negara ini.

Berdasarkan lapuran The Edge Review, rundingan rahsia dengan Jusuf Kalla sebagai orang tengah adalah kemungkinan perjanjian damai rahsia antara Anwar dan Najib. Bagaimana dalam keadaan Pakatan Rakyat sedang bersiap sedia menghadapi UMNOBN untuk PRU13, tetapi pada masa yang sama wujud rundingan damai antara Anwar-Najib? Ini adalah satu pengkhianatan besar Anwar kepada kepercayaan besar yang diberi kepadanya oleh Pakatan Rakyat, khususnya PAS dan DAP.

PERTEMUAN RAHSIA SELEPAS PRU13
Selepas PRU13, Anwar sekali lagi mendedahkan pertemuan dan rundingan rahsia antara PKR dan UMNO untuk membentuk Kerajaan Perpaduan(UG). Orang tengah kepada rundingan rahsia itu juga orang yang sama, Jusuf Kalla. Selepas kemungkinan perjanjian damai sebelum PRU13, rundingan rahsia masih berterusan antara Anwar atau wakilnya, dengan Najib atau wakilnya kali ini kearah UG. Sekali lagi ini adalah satu pengkhianatan besar untuk kali ke 2nya oleh Anwar kepada PAS dan DAP. 

Majalah The Edge Review menyebut, “Ahli politik Umno dan pegawai khas Anwar berkata, perbincangan itu yang diuruskan bekas naib presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendapat momentum baru beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kedua-dua pemimpin politik Malaysia itu masing-masing melantik wakil untuk menyenaraikan butiran terperinci yang mungkin boleh membentuk proses perdamaian,” katanya.

The Edge Review melaporkan ahli politik berkata, wakil Najib iaitu Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri sudah beberapa kali mengadakan perbincangan tertutup dengan Saifuddin.
“Mesyuarat terakhir antara kedua-dua wakil itu ialah pada pertengahan Julai, selepas Jusuf Kalla mengadakan perbincangan berasingan dengan Najib dan Anwar, kata sumber terdekat dengan perbincangan itu.

Asia Sentinel memetik Anwar sebagai berkata, beliau memberitahu Najib bahawa kerajaan perlu menghentikan serangan perkauman oleh kumpulan yang dikawal Umno terhadap masyarakat Cina dan India sebelum sebarang perkembangan mengenai kerajaan perpaduan dapat dilakukan.

“Saya kata isu asas perlu diselesaikan, akhiri perkara perkauman. Perlu ada komitmen yang jelas untuk reformasi dan perubahan,” Anwar berkata kepada Asia Sentinel, dan menambah beliau belum menerima maklum balas daripada Najib. 

Adakah itu alasan Anwar kepada Najib, atau alasan "menyelamatkan diri" Anwar mendedahkan rahsia kepada aktivis Pakatan Rakyat, sebelum perkara tersebut terbocor kepada aktivis parti.

Anwar dan PKR sebenarnya bersalah dari segi ETIKA bilamana telah menyatakan komitmen bersungguh-sungguh menjayakan perjanjian persefahaman dan kerjasama politik dengan PAS dan DAP secara terang-terangan TETAPI pada masa yang sama mengadakan rundingan rahsia dengan musuh politik di "lorong gelap". 

Anwar dan PKR juga salah dari segi MORAL BERPOLITIK bila langsung tidak mengambil kira bukan sahaja pandangan pemimpin parti komponen PR bahkan juga perasaan mereka kerana perjanjian damai rahsia dengan musuh politik PAS dan DAP.

SANGAT SUKAR untuk menerima hakikat betapa Anwar begitu bersemangat mengheret rakyat turun ke jalanraya dalam siri Black505, tetapi pada masa yang sama menghantar perantaranya, Setiausaha Agung PKR, Saifudin, berunding mengenai UG dengan wakil UMNO Zahid Hamidi. Ini satu sikap hipokrit yang langsung tidak boleh diterima akal.

Mungkin Anwar mendedahkan rahsia besar ini hanya setelah rundingan rahsia tersebut gagal dan tuntutannya tidak diterima oleh Najib. Tidak penting samada Anwar dan PKR menerima atau menolak rundingan damai dan cadangan UG, yang penting Anwar dan orang perantaraannya TELAH MENGADAKAN RUNDINGAN RAHSIA ke arah tersebut tanpa pengetahuan PAS dan DAP. Ini telah mencabul perjanjian persefahaman dalam Pakatan Rakyat. 

Anwar mendakwa Najib membuat tawaran, Najib menafikannya. Antara Anwar dan Najib, salah seorangnya sudah pasti berbohong! Atau kedua-duanya pembohong. 

Perkara ini perlu menjadi pengajaran besar buat Pendukung UG PAS bahawa UMNO tidak ikhlas dan tidak boleh dipercayai. Mereka perlu menerima hakikat, gabungan kerajaan UG (PAS-UMNO) adalah berpaksikan hawa nafsu pemimpin UMNO untuk kepentingan kuasa politik masing-masing.

Perkara ini juga perlu menjadi pengajaran besar kepada Penentang UG (PAS-UMNO), bahawa Anwar bukan seorang pemimpin yang boleh dipercayai sepenuhnya. Anwar selalu panjang akal dan fasih berbahasa berdalih  menutup kecurangannya terhadap rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.   


Anwar dan PKR telah merosakkan kepercayaan dan keyakinan ahli PAS untuk menerajui Pakatan Rakyat. Sewajarnya Anwar dan PKR perlu keluar dari Pakatan Rakyat kerana tindakan beliau berusaha ke arah UG (UMNO-PKR) tanpa terlebih dahulu berbincang diperingkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat adalah satu pengkhianatan kepada perjanjian persefahaman PKR dalam Pakatan Rakyat.

Tuesday, August 13, 2013

Kerajaan Perpaduan VS Kerajaan Campuran


100 hari selepas PRU13, timbul kembali cerita “Kerajaan Perpaduan”. Kali ini, bukan lagi kombinasi gabungan UMNO dengan PAS, tetapi BN dengan PKR. Langitbiru langsung tidak terkejut, kerana dari awal lagi pada 22 May 2013, Langitbiru menulis dalam, blog langitbiru3.wordpress.com bertajuk “PASCA PRU 13: KERAJAAN CAMPURAN PILIHAN TERBAIK ?”

Bagaimanapun, “Kerajaan Campuran” cadangan Langitbiru adalah "Kerajaan BN dengan PR", bukannya BN dengan salah satu komponen PR.

PASCA PRU 13: KERAJAAN CAMPURAN PILIHAN TERBAIK ?

Langitbiru berasa sangat bimbang dengan perkembangan politik semasa, terutamanya sentimen API PERKAUMAN yang mula ditiup oleh pelampau parti pemerintah. Dek kerana menghadapi pelampau parti, para pemimpin parti pemerintah hendak tak hendak, sedikit sebanyak terpaksa mengikut kehendak golongan yang agresif ini. Sebelum pilihanraya, tiada siapa dari parti pemerintah berani bercakap secara terbuka perkara sensitif kerana bimbang undi nanti tergadai. Selepas pilihanraya, dengan terbentuknya “sebuah kerajaan minoriti”, atau “minoriti yang menang” membentuk sebuah kerajaan, mereka seperti “hilang akal” meroyan  dengan api perkauman ditiup dari segenap penjuru oleh orang-orang parti.

Kita lihat hari ini, amaran demi amaran dengan nada yang keras datang dari Menteri Dalam Negeri, sehinggakan terpacul dari mulutnya sebagaimana terpacul dari mulut Presiden istilah Tsunami Cina, menggesa mereka yang kononnya tidak meghormati keputusan PRU segera berhijrah keluar Negara. Rentetan itu juga timbul gesaan dari veteran parti memulau atau memboikot Cina dengan slogan “Buy Chinese Last”. DAN tidak lupa sebaik keputusan PRU13 diketahui, VVIP parti pemerintah dengan jelas tanpa berselindung menyerang parti lawan Pakatan Rakyat dan para pengundinya sebagai SANGAT RASIS.

Amat jelas keadaan sebegini tidak menguntungkan perkembangan ekonomi dan hubungan sesama kaum di Malaysia. Beberapa tindakan parti pemerintah seperti mengambil tindakan menghukum rakyat, berkonfrontasi dengan rakyat sebagai contoh Menteri Besar 17 DUN di Terengganu.   

Mana-mana di dunia bilamana berlaku pilihanraya, parti penyandang pemerintah gagal mendapat mandat yang kuat dari rakyat, keadaan Negara menjadi kurang stabil dan tidak menguntungkan Negara. Pendek kata, “permusuhan politik” berpanjangan di antara parti pemerintah yang minoriti, dengan parti pembangkang yang majoriti   akan memberi impak yang besar kepada rakyat. Seolah-olah “gajah dengan gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah”

Di Negara Barat dan Negara Maju, bilamana keadaan sedemikian berlaku, mereka berpandangan jauh meletakkan kepentingan Negara dan rakyat mendahului kepentingan parti masing-masing. Formulanya adalah SEBUAH KERAJAAN CAMPURAN?.

Langitbiru berpendapat, pemimpin parti pemerintah  yang minoriti dan parti pembangkang yang majoriti, sewajarnya duduk semeja di parlimen membincangkan dengan serius penubuhan sebuah Kerajaan Campuran demi kesejahteraan dan KELEGAAN RAKYAT. Langitbiru sangat yakin, majoriti rakyat akan merasa SANGAT LEGA terutamanya setelah mengharungi pertarungan politik yang hebat dalam jangkamasa yang lama. Rakyat yang dihimpit pelbagai masalah sebenarnya “sudah letih” dan mengimpikan sebuah Negara yang sejahtera dan harmoni.

Walaubagaimanapun, bagi Langitbiru, semuanya terserah kepada Parti Pmerintah Minoriti Yang Menang. Bola di kaki mereka. Sebagaimana hujah Langitbiru, jika mereka Minoriti Yang Menang berasa insaf dan menyedari mandat minoriti yang mereka terima dari rakyat ,mereka akan mendahulukan rakyat dan bekerjasama dengan Parti Pembangkang Yang Majoriti.   

Sudah tentu bagi Kerajaan Minoriti ini, ISU UTAMA NYA adalah Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri . Langitbiru tersangat yakin, sekali-kali Kerajaan Minoriti ini tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun. SEBABNYA, mereka telah menanam pemikiran di kalangan ahli parti mereka dengan pemikiran politik yang kotor dan bermusuhan dengan parti pembangkang. Pendek kata, mereka mengambil pendekatan “berpatah arang berkerat rotan” dengan parti pembangkang. Kerjasama sebagai Kerajaan Campuran dengan pembangkang bererti mereka “meludah ke langit”.

MEREKA MINORITI YANG MENANG SEBENARNYA MENDAHULUKAN PARTI DARI RAKYAT.

Monday, August 12, 2013

Ucapan YDP Agung PAS dan Presiden PAS

1972, Dato' Asri bawa PAS masuk Kerajaan Campuran dengan UMNO. 1974, Dato' Asri melalui Muktamar PAS membawa PAS masuk Kerajaan Perpaduan (UG) dengan Barisan Nasional. Bibit-bibit perpecahan PAS mula membenih dan tumbuh subur. Mac 1978, Kerajaan PAS Kelantan tumbang angkara UMNO yang bergabung dengan BERJASA pimpinan Dato' Nasir, parti serpihan PAS. PAS ditendang keluar dari BN macam anjing kurap. PAS berada dalam kedudukan yang sangat lemah dan berpecah. 

Selepas  kekalahan PAS di Kelantan pada Mac 1978, ABIM mula intim dengan PAS. Pilihanraya Umum 1978, PAS mendapat kekuatan baru bila tokoh-tokoh besar ABIM bertanding atas tiket PAS.
Ustaz Fadhil Nor (Timbalan Presiden ABIM), Ustaz Nakhaei (Naib Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Rahman (Bendahari ABIM), Hi Hadi Awang (YDP ABIM Terengganu), dan Ustaz Yahya Othman (Ahli Syura ABIM) bertanding atas tiket PAS. 

 7 April 1981, Hj Hadi dalam ceramahnya di Kpg Banggol Peradong (yang dikenali sebagai "Amanat Hj Hadi" ) menyebut, 

Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.

PAS sangat keras pendekatannya menentang UMNO kerana terpukul ditendang keluar dari BN macam anjing kurap. Juga kerana pengaruh kebangkitan pemuda-pemuda Islam terutamanya teruja dengan kemenangan Revolusi Iran yang dipimpin oleh Ulama Iran. Tokoh-tokoh ABIM dengan cepat mengambil alih Pucuk Pimpinan PAS. Di saat ini, pengaruh Dato' Asri semakin lemah kerana sikap beliau yang "berlembut dan lunak" dengan UMNO, imej PAS yang dipimpinnya dilihat tidak cukup Islamik terutama dalam menghadapi " Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam" Mahathir yang mewujudkan Bank Islam, Takaful, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lainnya. 

Penentangan ahli PAS kepada Dato' Asri yang "berlembut dan lunak" dengan UMNO semakin ketara dan parah. Muktamar PAS Pusat pada tahun 1982, para perwakilan melaungkan slogan “Murakbar Asri” sebelum beliau menyampaikan ucapan  Dasar. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengemukakan usul Kepimpinan Ulama’ dan penubuhan Majlis Syura Ulama’ PAS. Dewan Pemuda PAS juga telah mengemukakan usul supaya ucapan dasar Yang Di Pertua Agung PAS ditolak. Di sinilah sejarah bermulanya "Kepimpinan Ulama" dan "Majlis Syura Ulama PAS" yang dibawa oleh tokoh tokoh besar ABIM, Fadhil Noor, Nakhaie, dan Hj Hadi. Dan menjadi sejarah PAS, Ucapan Dasar Yang Di Pertua Agung PAS yang pertama ditolak oleh Muktamar. 

Antara intipati Ucapan dasar Dato' Asri ditolak adalah kerana beliau memuji kewujudan Bank Islam dan UIA oleh Mahathir.

 “Isu Bank Islam (BI) dan Universti Islam Antarabangsa (UIA) adalah antara isu-isu besar yang dicadangkan dengan gegak gempita di seluruh Negara, tetapi ia tidaklah seharusnya menyebabkan kita merasa terperanjat  dan terpesona, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh bersikap negatif terhadapnya dan memandang sepi dan buruk belaka kepada apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain dan tidak betul belaka dan semuanya dari orang lain buruk dan tidak betul belaka. Sudah seharusnyalah segala anggapan dan tanggapan kita kepada semua masalah hendaklah dilakukan secara objektif dan jujur sejajar dengan tugas kita yang berjuang dan mencapai kebenaran dan berjuang menghayati ajaran Islam. Kita mengalu-ngalukan hasrat mana-mana pihak pun juga sekiranya mereka benar-benar hendak menjadikan parti mereka sebuah parti Islam yang mahu memperjuangkan cita-cita untuk melihat tertegaknya kedaulatan Islam di dalam Negara ini". (Dato’ Mohd. Asri Haji Muda, 1982: 5) 

Semuanya bermula dan berpunca dari Kerajaan Campuran, kemudian Kerajaan Perpaduan (UG). Hingga ke hari ini, bila wujud idea atau ura-ura kerjasama atau jalan-jalan ke arah UG, akan cepat mendapat reaksi seluruh ahli PAS. Isu Kerajaan Perpaduan (UG) telah menjadi satu perkara yang sangat sensitif kepada PAS. Orang yang paling sensitif adalah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, kerana beliau adalah Ketua Pemuda PAS pada tahun 1974, yang menjadi penyokong kuat kepada gagasan UG. Sebelum PRU13, beliau ada berkata, selagi beliau hidup, PAS tak akan bergabung dengan UMNO membentuk UG.

Pasca PRU2008, jalan jalan ke arah UG mula terhidu dan kuat bau wanginya hingga sampai ke hidung TGNA. TGNA tak tunggu lama, selaku Mursyidul Am PAS, beliau segera memanggil mesyuarat tergempar Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat pada 31 julai 2008 bagi menentukan halatuju PAS.  Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz  Hassan Ali menjadi tumpuan utama yang dikatakan sebagai perintis kepada gerakan UG. 

Pada tahun 2010, Utusan Malaysia melapurkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO kini melalui satu perubahan yang baik apabila parti itu tidak lagi menganggap agama dan politik sebagai dua perkara berbeza. Katanya, ia juga merupakan satu proses anjakan paradigma kepada UMNO. 

Kenyataan HjHadi itu mendapat perhatian besar semua masyarakat khususnya aktivis PAS. Bagi mencerahkan keadaan kusut masai tersebut, Akhbar Harakah telah memewancara Presiden Hj Hadi isu lapuran Utusan Malaysia. Kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.


Soalan: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

Jawapan: ………..Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.

Aktivis PAS yang sangat sensitif dengan idea UG, berasa sangsi mengaitkan Presiden PAS, Tok Guru Hj Hadi dengan agenda UG. Mereka melihat TGHH juga sudah "berlembut dan lunak" dengan UMNO. Kalau Dato' Asri ditolak Ucapan Dasarnya di Muktamar hanya kerana beliau setuju penubuhan Bank Islam dan UIA, kenyataan TGHH ini dilihat lebih "lembut dan lunak" kerana mengiktiraf "PERUBAHAN DASAR DAN SIKAP UMNO" yang tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik, tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Perkara ini menjadi perhatian ahli PAS kerana dalam Perhimpunan Agung UMNO selepas PRU2008, tidak pernah UMNO meluluskan apa-apa usul meminda perubahan Dasar Parti UMNO dari Nasionalis kepada Islamis. 

Dan selepas kenyataan TGHH, UMNO kembali memalukan Gendang "HUDUD" sebagai petanda awal PRU 13 semakin hampir. Bah kan kali ini isu HUDUD semakin parah apabila MCA sekutu UMNO secara terang-terangan bukan setakat menentang tetapi MENGHINA HUDUD, tetapi para pemimpin UMNO hanya "tersenyum" melihat PAS "bersilat" dengan MCA.  

Apakah PAS sudah dipatuk oleh ular yang sama dari lubang yang sama sebanyak 2 kali?


"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka". (Surah Hud:113)

Monday, August 5, 2013

PAS: BINTANG TGHH SEMAKIN PUDAR?




TGHH adalah anugerah besar Allah swt kepada Parti PAS. Hj Hadi muncul tatkala PAS memerlukan ikon baru penyuntik semangat perjuangan lewat 70an. Di kala inilah PAS menghadapi krisis kepimpinan yang teruk hasil helah tipudaya dan fitnah UMNO. PAS ditendang keluar macam anjing kurap dari Barisan Nasional dan Kelantan jatuh ke tangan UMNO melalui MAGERAN, satu perancangan jahat UMNO. Kehadiran HjHadi tepat pada masanya membawa angin perubahan baru dan semangat baru terutama kepada Pemuda PAS. 

Idea memartabatkan Ulama menerajui PAS mendapat perhatian meluas seolah-olah satu fenomena dalam lanskap politik PAS. Fenomena ini bergerak dengan tersusun dan mantap, momentumnya sudah tidak boleh disekat, Hj Hadi "Singa PAS". Kemunculan HjHadi menyebabkan UMNO sendiri kecut perut terutama sekali melihat kesedaran kebangkitan golongan muda kepada agama. HjHadi berkelulusan Universiti Madinah dan menyambung pendidikannya ke Al-Azhar kembali ke tanahair pada tahun 1976. HjHadi masuk ABIM pada tahun 1977 dan menjadi Pengerusi ABIM Selangor. Ada yang berpendapat, jika Anwar Ibrahim pada masa itu memilih PAS sebagai wadah parti politik perjuangannya, besar kemungkinan UMNO tewas dalam pilihanraya umum. 1982, Anwar disunting oleh Mahathir juga kerana untuk menyekat pengaruh politik PAS yang kian mendapat tempat di kalangan anak muda. Secara kebetulan 2 ikon baru ini bertemu di dalam ABIM, tapi kemudiannya bertembung di medan politik, HjHadi bersama PAS, Anwar sahabat karib Ustaz Fadhil Noor bersama UMNO.

Maka tidak hairanlah ucapan HjHadi di Kg Paradong Terengganu tahun 1981 akan terus diingati dalam sejarah sebagai Amanat Hj Hadi. Pendekatan HjHadi dilihat "sangat tegas dan keras" oleh kawan dan lawan. UMNO mendakwa "Amanat Hj Hadi" itu MENGKAFIRKAN UMNO. Begitulah hebat HjHadi di masa pemudanya. Akhirnya, selepas 31 tahun PAS ditubuhkan teraju kepimpinan PAS berubah tangan kepada Ulama. Yusof Rawa ulama pertama memimpin PAS. PAS mengalami sejarah yang amat perit dan hampir-hampir lumpuh akibat permainan politik UMNO. Di bawah Kepimpinan Ulama, PAS beransur-ansur pulih. 1989, HjHadi dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS. Presiden PAS adalah Ustaz Fadhil Noor. Kedudukan HjHadi sebagai Timbalan Presiden PAS telah memberi tonik baru kepada PAS. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1990, PAS berjaya merampas kembali Kelantan dari UMNO, dengan disokong oleh Ku Li, dari Parti Semangat 46. Inilah kali pertama "tahaluf-siyasi" PAS dengan parti serpihan UMNO, Semangat 46 membuahkan hasil lumayan.

Bintang HjHadi terus bersinar. PAS menunggu tidak lama, 9 tahun selepas merampas Kelantan, akhirnya pada tahun 1999 PAS berjaya merampas Terengganu dengan kemenangan besar. Kali ini, PAS "bertahalufsiyasi" pula dengan satu lagi parti serpihan UMNO, Parti Keadilan Nasional yang diterajui oleh Wan Azizah, isteri Anwar Ibrahim. Episod mata lebam Anwar dipukul Ketua Polis Negara dalam penjara secara tak langsung melonjak undi Barisan Alternatif (BA) dan memberi kemenangan kepada PAS merampas Terengganu. Singa PAS Terengganu, Hj Hadi dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu. 2002, Hj Hadi mula menerajui PAS meneruskan tradisi Kepimpinan Ulama sebagai Presiden Parti selepas kematian Ustaz Fadhil Noor. 

UMNO Barisan Nasional mencapai keputusan terburuk dalam sejarahnya dalam pilihanraya umum 1999. Mahathir yang digelar Maha Firaun kerana tindakannya menghantar anak didik emasnya, Anwar Ibrahim ke penjara "dipaksa berundur" demi kelangsungan UMNO. UMNO dipimpim oleh MrClean, Pak Lah. 2004, Pak Lah membuat kejutan terbesar dalam sejarah UMNOBN apabila menang besar dalam PRU2004. Terengganu dibawah arkitek barunya, Idris Jusoh, memberi pukulan "TKO" ke atas PAS. PAS Terengganu mengalami titik hitam dalam sejarahnya. 1 penggal memerintah Terengganu, PAS gagal menyakini dan memikat kehendak rakyat Terengganu. Pentadbiran Negeri di bawah Hj Hadi berjaya dimanipulasikan oleh propaganda UMNO di bawah Idris Jusoh.  Kredibiliti Hj Hadi, Presiden PAS mula dipertikaikan rakyat Terengganu.

2008, tanpa diduga telah berlaku "Tsunami Politik" ekoran pembebasan Anwar Ibrahim setelah merengkuk dalam penjara hampir 10 tahun. PAS berjaya merampas Kedah, tetapi tidak berjaya merampas kembali Terengganu. Satu kemusykilan, bagaimana Terengganu yang dipimpin oleh Presiden sendiri "selamat" dari Tsunami Politik yang memihak kepada Pakatan Rakyat. Di peringkat Parlimen PAS tanpa diduga menang 23 kerusi Parlimen, satu pencapaian kedua terbaik dalam sejarah PAS selepas keluar dari Barisan Nasional (PRU1999 Pas menang 27 kerusi Parlimen). "Tsunami Politik" yang memihak kepada gabungan "baru" , Pakatan Rakyat, berlaku kerana Pakatan Rakyat kali ini lebih mantap dan tersusun serta ikatan gabungannya semakin kuat tidak sepertimana ikatan Barisan Alternatif. Inilah "tahaluf-Siyasi" ke 3 PAS membuahkan hasil.

Bagaimanapun, Pasca PRU2008, UMNOBN buat pertama kalinya gagal mendapat 2/3 Kerusi Parlimen, kalah di 5 buah negeri, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor mula "merisik khabar" pimpinan PAS. Khabarnya, pada mulanya UMNO tawar Kerajaan Perpaduan di Perak dan Selangor. Ini dikatakan punca berlaku kelewatan perlantikan Menteri Besar Perak dan Selangor. Di Perak, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria khabarnya menjadi agen perunding kepada UMNO  untuk menggabungkan PAS dan UMNO. Mufti Perak khabarnya mendakwa sudah dapat persetujuan Presiden PAS, tapi gagal mendapat persetujuan Mursyidul Am PAS, TGNA. Khabarnya juga, pujukan UMNO bukan setakat di Selangor dan Perak, tetapi juga ke Peringkat Pusat, membentuk Kerajaan Perpaduan (UG). 

Rentetan kepada idea UG inilah menyebabkan berlakunya Mesyuarat Tergempar Majlis Syura dan Pas Pusat yang dipanggil oleh Mursyidul Am, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Ia berlaku pada 31 Julai 2008. Khabarnya, dalam mesyuarat tersebut TGNA dengan tegas ada menyebut, "Kalau nak pecah 2 PAS malam ni kita pecahlah". Sejauh mana kebenaran ini tidak dapat dipastikan.

Pasca AGM tersebut menyebabkan kredibiliti Presiden terus dipertikai, dan spekulasi bahawa Presiden dikaitkan dengan agenda UG mula menjadi meluas. PAS mengalami sekali lagi sejarah hitam apabila Ustaz Nasharudin Mat Isa,Timbalan Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, merangkap Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor dipecat dari parti PAS kerana dikaitkan dengan agenda UG. Kedua-dua tokoh ini sedikit sebanyak membongkarkan kronologi ke arah kerjasama PAS-UMNO (UG), sedikit sebanyak menambahkan kuah persepsi bahawa Presiden juga terlibat sama. Ini adalah "Episod Dingin" dalam PAS. Cakap-cakap kedai kopi mula menyatakan "flip-flop" Hj Hadi sebagai Pak Lah-Versi PAS, tidak lagi digeruni oleh UMNO seperti zaman Pemudanya.

Pada tahun 2010, Utusan Malaysia melapurkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO kini melalui satu perubahan yang baik apabila parti itu tidak lagi menganggap agama dan politik sebagai dua perkara berbeza. Katanya, ia juga merupakan satu proses anjakan paradigma kepada UMNO. Sesetengah bercakap seolah-olah Hj Hadi meludah ke langit dengan merujuk kepada Amanat Hadi 1981.

Kenyataan HjHadi itu mendapat perhatian besar semua masyarakat khususnya aktivis PAS. PAS dikatakan masih keliru dan berada di persimpangan ke mana halatujunya terutama dalam menghadapi PRU13. "Episod Dingin" dalam PAS terus berlaku seolah-olah ada "PERTEMBUNGAN IJTIHAD" antara TGHH dengan TGNA. Bagi mencerahkan keadaan kusut masai tersebut, Akhbar Harakah telah memewancara Presiden Hj Hadi isu lapuran Utusan Malaysia. Kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.


Soalan: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

Jawapan: ………..Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.


Ramai melihat jawapan Presiden bukan menafikan lapuran Utusan Malaysia, tetapi sebaliknya senada seirama dengan Utusan Malaysia. Ianya tidak mencerahkan suasana muram tetapi menambah luka kepada sebahagian ahli. Cakap-cakap kedai kopi mula mengatakan Hj Hadi semakin lunak dan mesra dengan UMNO. Hj Hadi yang suatu masa dulu dianggap "Singa PAS" sudah mula berubah, tidak seperti dulu. Persepsi HjHadi adalah Pak Lah-versi PAS terus diperkatakan di kedai-kedai kopi.

Bagaimanapun, muktamar demi muktamar, penegasan dibuat bahawa PAS komited dengan  Tahaluf-Siyasi gagasan Pakatan Rakyat. Ramai berpendapat, Hj Hadi "terpaksa" menerima ketetapan tersebut demi menjaga hubungan dengan Mursyidul-Am, TG Nik Aziz. Anwar Ibrahim pula dikatakan lebih mesra dan senang bertemu TGNA. Keadaan ini seolah-olah mengajak dan mengimbau kisah-kisah lama di zaman pemuda Anwar dan Hj Hadi, "bertemu di ABIM, bertempur di medan politik".   

PRU13, sepertimana ramai sediamaklum, PAS menyusut di Parlimen dari 23 kerusi (2008) kepada 21 kerusi walaupun digembar gemburkan PAS mampu menang sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen. 

Jatuhnya Kerajaan PAS Kedah mengulangi sejarah Kerajaan Pas Terengganu di bawah HjHadi. Tidak kurang juga suara-suara nakal menyalahkan HjHadi yang mengekalkan Ustaz Azizan sebagai punca PAS kalah di Kedah. Dalam keadaan momentum yang kuat dan terbaik Pakatan Rakyat, kegagalan PAS merampas kembali Terengganu  dari UMNO juga bagaikan menambah gula dan garam sejauh mana kredibiliti PAS. 

Isu Kota Damansara dikatakan punca masyarakat umum melihat tiada persefahaman yang kukuh dan kuat dalam ikatan Pakatan Rakyat. Ada yang menyatakan HjHadi "terpaksa" menerima Tahaluf-Siyasi dengan DAP,PKR, tapi sebenarnya "tiada di hati", salah satu penyebab Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13. 

Kehadiran menantu Hj Hadi dalam Majlis Syura PAS Pusat dikatakan "mengeruhkan" lagi suasana "Episod Dingin" dalam Pas. Dalam hal ini, khabarnya pemimpin PAS dikatakan tidak mampu bersuara demi menjaga maruah Presiden. Namun, Khalid Samad mengambil pendekatan berbeza dengan "menyanggah" menantu Hj Hadi, Ustaz Zaharudin dalam isu Kota Damansara. Ustaz Zaharudin bersama Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan bangkit melawan Khalid Samad dengan menyatakan sasaran sebenar Khalid Samad adalah Presiden sendiri dengan membuat analogi Khairy-Pak Lah-Mahathir. 

Bagaimanakah kesudahan "Episod Dingin" ini dalam PAS?. Mampukah Presiden Parti, Hj Hadi menyelesaikan gelombang dalam cawan yang sudah melimpah keluar? Apakah bintang Hj Hadi semakin pudar? Apakah peralihan kuasa HjHadi kepada pengganti Ulama baru satu penyelesaian? 



Friday, August 2, 2013

KEMUNCAK PERTEMBUNGAN ULAMA DAN PROFESIONAL DALAM PAS?



Pasca PRU13, hubungan beberapa individu yang dipanggil Ustaz (juga diiktiraf sebagai Ulama?) dengan beberapa personaliti berprofil dalam PAS tetapi bukan Ustaz atau Ulama, mungkin lebih dikenali sebagai Profesional, dilihat semakin panas dan terbuka kepada public. Jika sebelum ini hanya segelintir blogger membahaskan tetapi hari ini menjadi terbuka selepas wujudnya beberapa artikel dimuatkan dalam “The Malaysian Insider”.   Zaharudin dan Nasrudin dijadikan sasaran oleh penulis portal TMI, Amin Iskandar dan penulis Mohamad Abdullah. 

Kita semua sudah sediamaklum “pertembungan sengit” antara Zahirudin dan Khalid Samad dalam isu PAS bertanding di Kota Damansara. Dalam pertembungan tersebut, Zaharudin begitu keras mengkritik Khalid Samad (YDP Shah Alam dan Ketua Perunding Kerusi PAS di Selangor) dan Dr Rani selaku Pesuruh Jaya (PJ) Selangor sebagai gagal melaksanakan arahan tertinggi (AJK PAS Pusat) berkenaan kerusi DUN Kota Damansara,  iaitu membenarkan Dr Nasir dari Parti Sosialis Malaysia bertanding atas tiket PKR.

Selain Khalid Samad dan Dr Rani, Zaharudin juga mengheret sama Mat Sabu, Timbalan Presiden Pas yang dilabelnya sebagai pro-sosialis. Mat Sabu mengikut pandangan Zaharudin, berusaha memastikan PSM bertanding dan bekerja keras menaikkan PSM di Kota Damansara.

Zaharudin selanjutnya melabelkan Khalid Samad, Dr Rani, Mat Sabu dan pengikut mereka sebagai “Kumpulan Kecil” yang boleh jadi datang dari UMNO atau lain-lainnya, mencuba dan berusaha dengan licik untuk menjatuhkan kredibiliti Presiden TGHH dan Timbalan Mursyidul Am Dato’Harun Din. Zaharudin seterusnya mendakwa beliau terpaksa menjadi backup team kepada Presiden di dalam PRU13 kerana ada usaha sabotaj oleh “Kelompok Kecil” yang kesannya, PAS akan menyosot kerusinya dan hilang jati diri. 

Pada 27 julai 2013, bertempat di kawasan Parlimen Temerloh, Yang Berhormatnya Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, berlangsung Ijtimak Badar Anjuran Dewan Pemuda PAS Pahang. Khabarnya Ijtimak tersebut menjemput Zaharudin Mohamad khusus membincangkan “Isu Pimpinan Berotak Liberal dalam PAS”. Sejurus Ijtimak tersebut, khabarnya keluarlah mesej melalui wasapp dari Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman berbunyi,  “Wujudnya ajk pusat dan ahli pas yang berfikiran  Islam Liberal yang sangat membahayakan jemaah dan seterusnya meruntuhkannya. Maka ana mencadangkan mereka yang ana senaraikan ini tidak dipilih menjadi ajk pas pusat pada pemilihan akan datang. 1.Khalid Samad, 2. Dr Dzulkifli Ahmad, 3. Hanifa Maidin, 4. Mujahid Rawa, 5. Husam Musa”. 

Membaca komen-komen dalam ruang siber dari penyokong Zaharudin, “Kumpulan Kecil” ini dilabelkan dengan pelbagai nama yang bermaksud sebagai PENGKHIANAT PAS. Mereka digelar Anti-Ulamak, Islam Liberal, Parasit PAS, musuh dalam selimut, api dalam sekam , duri dalam daging yang akan membawa bencana besar kepada Parti Islam SeMalaysia, PAS. 

BENARKAH SEMUA INI?

PANDANGAN PERIBADI LANGITBIRU.

1.      ISLAM LIBERAL
Langitbiru hanya sekadar ahli biasa PAS seumur hidup. Tiada apa-apa jawatan di peringkat Kawasan,Negeri mahupun Pusat. Langitbiru juga tiada “talian hayat” dengan mana-mana pemimpin di semua peringkat. Langitbiru seorang pengamal perubatan moden, telah mengabdikan diri ini di bidang perubatan selama hamper 18 tahun. Langitbiru seorang yang jahil agama. Pernah juga ustaz menyebut “Jahil Murakkab”. Pada fahaman Langitbiru, Jahil Murakkab itu bermaksud jahil sejahil-jahilnya, jahil yang dirinya sendiri tidak tahu dan tidak sedar yang dia seorang yang jahil. Maka kalau ada orang mengatakan Langitbiru jahil murakkabpun Langitbiru terima.   Kesedaran agama itu sendiri anugerah dan nikmat dari Allah swt yang paling hebat bagi Langitbiru, datangnya juga dari ceramah, kuliah bukan formal, usrah dan sebagainya sebagai cara mendalami ilmu agama. Di sini Langitbiru belajar, “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari)

Adakah kerana Langitbiru langsung tiada pendidikan khusus agama, bila berbicara sepotong dua ayat Al-Quran maka Langitbiru layak dipanggil Islam Liberal? Apakah ayat-ayat Al-Quran dan Hadis itu hanya layak dibicarakan oleh mereka yang ada sijil-sijil agama?

Bagi Langitbiru yang jahil agama ini, tuduhan Islam Liberal kepada seseorang itu adalah satu tuduhan yang dashyat. Bolehjadi ianya bermaksud akidah nya juga terpesong dan sesat. Ilmu Langitbiru tidak tinggi mana dan jahil, tidak berani nak menghukum sesiApa sebagai Islam Liberal. Bagaimanapun, membaca artikel Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda PAS Pusat, yang mengambil analogi menggambarkan kehebatan anak-menantu dalam PAS, Zahirudin-HjHadi dibandingkan dengan Saidina Ali- Rasulullah saw, sejahil-jahil Langitbiru, itu sesuatu yang langsung Langitbiru tak boleh terima, hatta sebesar zarah sekalipun Langitbiru tak boleh terima. Tak apa lah, itu hak mereka yang bergelar ustaz dan ulama. 

Pun begitu, Dr Yusof Al-Qaradawi mengingatkan Jemaah Islam, tokok tambah kepada nama Islam itu, seperti Islam Fundamentalist, Islam Liberal, Islam Moderate dan apa jua tambahan kepada nama Islam itu sebenarnya ciptaan musuh Islam, Yahudi untuk memecahbelahkan Umat Islam. Adakah kita sudah tercucuk jarum halus Yahudi? 

2.      ISU KOTA DAMANSARA

Rasa terpanggil juga untuk member pandangan peribadi soal Isu Kota Damansara. Langitbiru langsung tidak nampak, Sdr Khalid Samad, Dr Rani, Mohamad Sabu yang digelar “Kumpulan Kecil” oleh Zaharudin, berniat jahat dan berusaha untuk sabotaj PRU13, serta menjatuhkan kredibiliti TGHH sebagai Presiden Parti. 

Seperkara Langitbiru mahu perkatakan, pertimbangan, strategi dan percaturan politik selagi tetap berada pada landasan Syariat, kekuatan,pengalaman dan kebijaksanaan akal menjadi penentu kepada segala keputusan politik. Saya yakin dan percaya, golongan professional dan bukan ulama sekali-kali tidak mepertikaikan ilmu agama para ulama dalam apa jua hal agama, tetapi dalam strategi politik ianya mungkin berbeza.  Seharusnya sejarah Peperangan Badar menjadi iktibar kepada kita Jemaah Islam. 

Ketika kaum Muslimin berhenti di suatu tempat di lembah Badar, sahabat Rasulullah saw, Khubab ibnul Munzir berkata kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, adakah tempat yang kami berada ini suatu tempat yang ditunjukkan oleh Allah yang kami tidak dapat melanggarnya sedikit pun ataukah hanya tempat yang engkau pilih mengikut pendapatmu sendiri dan taktikmu?

 Jawab Nabi saw: “Tempat ini ku pilih menurut fikiranku”

Jawab Khubab: “Tempat ini tidak strategik untuk berperang”. Kemudian dia menunjukkan tempat yang lebih strategik. Anjuran Khubab itu disambut oleh Rasulullah dengan gembira sekali dan segera baginda bangkit menuju ketempat yang ditunjukkan oleh Khubab yang mana merupakan tempat yang lebih dekat dari sumber air dari kaum Quraisy. 

Jelas, Rasulullah saw meraikan pendapat dan cadangan para sahabat dalam strategi perang.
Strategi politik juga boleh dianalogikan dengan strategi perang yang memerlukan kekuatan dan kebijaksanaan. 

Dalam Isu Kota Damansara, perkara fokus Zaharudin adalah isu calun Fahaman Sosialis PKR, yang sebenarnya ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM). Bagi Zaharudin, PSM tidak diterima sebagai anggota gabungan Pakatan Rakyat, dan wajar PAS bertanding di Kota Damansara. Zaharudin membahaskan kemungkinan sejarah DUN Perak berulang dengan mengambil calun PSM. Seluruh Malaysia juga sediamaklum ucapan HjHadi beberapa hari selepas penamaan calun menjelaskan isu PSM dan juga pil kuda serta pengalaman Perak. Ucapan HjHadi itu dilihat selari dengan alasan Zahirudin. 

Perkara fokus Khalid Samad pula adalah kerusi tersebut Hak dan Milik PKR, Parti Gabungan dalam Pakatan Rakyat berdasarkan persefahaman kerjasama “Tahaluf Siyasi” antara PAS dan DAP,PKR. Adalah menjadi hak PKR untuk meletakkan sesiapa sahaja calun yang mereka fikirkan sesuai. PAS tiada hak untuk mencampuri urusan pemilihan calun PKR. Tahaluf Siyasi itu difaham secara umum oleh kebanyakan orang adalah satu pakatan, ikatan dan perjanjian antara parti PAS dan DAP,PKR. PAS bertanding di kerusi Kota Damansara dilihat sebagai tidak menepati janji, mungkir janji dan telah melanggar hak rakan sekutu PKR. Dilihat dalam skop yang lebih besar, perkara tersebut mampu menggoncang kerjasama pakatan serta keyakinan ahli parti kedua-dua pihak yang boleh menguntungkan parti lawan iaitu UMNO. 

Pandangan Langitbiru, adalah bertentangan dengan semangat “Tahaluf Siyasi” PAS bertanding di Kota Damansara.  Jika PAS tidak bersetuju dengan calun PKR tersebut, PAS perlu mengemukakan bantahan rasmi melalui saluran parti, bukannya dengan meletakkan calun PAS bertanding sebagai tanda protes. Meletakkan calun PAS bertanding telah mengguris hati rakan sekutu, menimbulkan syak wasangka dan curiga di kalangan ahli Parti PKR. Bahkan kesannya boleh merebak ke kawasan pilihanraya yang lain. 

3.      KRITIKAN DIANGGAP SEBAGAI ANTI-KEPIMPINAN ULAMA?

Saya nampak, kritikan dan teguran Khalid Samad tidak wajar dilihat sebagai anti-ulamak hingga sanggup untuk sabotaj dan menjatuhkan TGHH. Sejahat itukah Khalid Samad? Dr Rani? Mat Sabu? Apakah kerana teguran kepada kepimpinan terus dihentam sebagai “kumpulan budak jahat” yang mahu menghancurkan Parti? Apakah kita lupa jasa jasa mereka berjuang dalam parti. Jangan disebabkan hanya 1 perselisihan pendapat, kita lupa 1000 kebaikan orang lain. Bukankah Islam mengajar kita begitu?

Apakah benar wujud gagasan menghapuskan Kepimpinan Ulama dalam PAS? PAS sebuah parti politik yang sangat berpengalaman. Sayugia kita semua perlu ingat, PAS sendiri awalnya bukan dipimpin oleh Ulamak. Kepimpinan Ulama muncul pada tahun 1981, iaitu 31 tahun selepas PAS ditubuhkan. Dan hari ini, sudah 31 tahun juga PAS berada dibawah Kepimpinan Ulama. 

3        Badan Tertinggi dalam PAS.
1.         Dewan Ulama.
Dari Ketua hinggakan kesemua jawatankuasanya adalah terdiri dari Ulama.
2.         Majlis Syura.
Majlis Syura secara umum dianggap sebagai Badan Tertinggi selepas Muktamar Agong, yang menentu dan mempastikah halatuju parti sentiasa berada di atas landasan Syariat. Mursyidul-Am, timbalannya dan hamper keseluruhannya adalah terdiri daripada Ulama.
3.         AJK PAS Pusat.
AJK Pas pusat dilihat sebagai Badan Pelaksana kepada segala ketetapan Majlis Syura dan Dewan Ulama. Badan Pelaksana, sama seperti sebuah pasukan Bala Tentera Perang. Panglima Perang mesti seorang yang benar-benar berkebolehan. AJK Pas Pusat inilah bergabung segala cerdik pandai dalam PAS, samada ulama, akedemik, professional bukan professional, kontraktor dan apa jua latar belakang ahli semuanya ada. Badan inilah yang menentukan pertimbangan,percaturan, dan strategi politik. 

Berdasarkan hierarki di atas, adalah jelas Kepimpinan Ulama adalah terjamin. Saya berasa sangat janggal dan sedih bilamana ahli-ahli PAS bukan dari kalangan Ustaz yang membuat teguran dan kritikan kepada Kepimpinan Parti dicop sebagai anti-ulamak, parasit dan musuh dalam selimut. Apakah Kepimpinan Ulama itu sendiri maksum dan tidak boleh ditegur? Jika tidak boleh ditegur, bermakna, PAS sendiri membawa dan mempraktikkan budaya Melayu UMNO dalam parti, tiada ruang untuk bersuara, menegur kepimpinan Parti. Sedangkan Rasulullah saw sendiri meraikan pendapat dan cadangan Para Sahabat seperti dalam Peristiwa Peperangan Badar.


4.      ZAHARUDIN MAHU HAPUSKAN SEMUA PROFESIONAL/ISLAM LIBERAL?

Namakan semua siapa penganut Islam Liberal dalam PAS, tak usah berselindung di sebalik kenyataan umum. Namakan mereka satu persatu.  Semua sediamaklum, golongan berprofil dalam PAS seperti Khalid Samad, Dr Rani, dan sebagainya adalah golongan professional. Oleh kerana Zaharudin seorang Ahli Majlis Syura yang diwarwarkan mempunyai pendidikan sangat tinggi ilmunya, bentanglah dan berhujahlah di Majlis Syura agar kesemua mereka ini dipecat dari PAS. Jika itu boleh menyelamatkan bahtera PAS dari karam!