Monday, August 12, 2013

Ucapan YDP Agung PAS dan Presiden PAS

1972, Dato' Asri bawa PAS masuk Kerajaan Campuran dengan UMNO. 1974, Dato' Asri melalui Muktamar PAS membawa PAS masuk Kerajaan Perpaduan (UG) dengan Barisan Nasional. Bibit-bibit perpecahan PAS mula membenih dan tumbuh subur. Mac 1978, Kerajaan PAS Kelantan tumbang angkara UMNO yang bergabung dengan BERJASA pimpinan Dato' Nasir, parti serpihan PAS. PAS ditendang keluar dari BN macam anjing kurap. PAS berada dalam kedudukan yang sangat lemah dan berpecah. 

Selepas  kekalahan PAS di Kelantan pada Mac 1978, ABIM mula intim dengan PAS. Pilihanraya Umum 1978, PAS mendapat kekuatan baru bila tokoh-tokoh besar ABIM bertanding atas tiket PAS.
Ustaz Fadhil Nor (Timbalan Presiden ABIM), Ustaz Nakhaei (Naib Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Rahman (Bendahari ABIM), Hi Hadi Awang (YDP ABIM Terengganu), dan Ustaz Yahya Othman (Ahli Syura ABIM) bertanding atas tiket PAS. 

 7 April 1981, Hj Hadi dalam ceramahnya di Kpg Banggol Peradong (yang dikenali sebagai "Amanat Hj Hadi" ) menyebut, 

Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.

PAS sangat keras pendekatannya menentang UMNO kerana terpukul ditendang keluar dari BN macam anjing kurap. Juga kerana pengaruh kebangkitan pemuda-pemuda Islam terutamanya teruja dengan kemenangan Revolusi Iran yang dipimpin oleh Ulama Iran. Tokoh-tokoh ABIM dengan cepat mengambil alih Pucuk Pimpinan PAS. Di saat ini, pengaruh Dato' Asri semakin lemah kerana sikap beliau yang "berlembut dan lunak" dengan UMNO, imej PAS yang dipimpinnya dilihat tidak cukup Islamik terutama dalam menghadapi " Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam" Mahathir yang mewujudkan Bank Islam, Takaful, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lainnya. 

Penentangan ahli PAS kepada Dato' Asri yang "berlembut dan lunak" dengan UMNO semakin ketara dan parah. Muktamar PAS Pusat pada tahun 1982, para perwakilan melaungkan slogan “Murakbar Asri” sebelum beliau menyampaikan ucapan  Dasar. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengemukakan usul Kepimpinan Ulama’ dan penubuhan Majlis Syura Ulama’ PAS. Dewan Pemuda PAS juga telah mengemukakan usul supaya ucapan dasar Yang Di Pertua Agung PAS ditolak. Di sinilah sejarah bermulanya "Kepimpinan Ulama" dan "Majlis Syura Ulama PAS" yang dibawa oleh tokoh tokoh besar ABIM, Fadhil Noor, Nakhaie, dan Hj Hadi. Dan menjadi sejarah PAS, Ucapan Dasar Yang Di Pertua Agung PAS yang pertama ditolak oleh Muktamar. 

Antara intipati Ucapan dasar Dato' Asri ditolak adalah kerana beliau memuji kewujudan Bank Islam dan UIA oleh Mahathir.

 “Isu Bank Islam (BI) dan Universti Islam Antarabangsa (UIA) adalah antara isu-isu besar yang dicadangkan dengan gegak gempita di seluruh Negara, tetapi ia tidaklah seharusnya menyebabkan kita merasa terperanjat  dan terpesona, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh bersikap negatif terhadapnya dan memandang sepi dan buruk belaka kepada apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain dan tidak betul belaka dan semuanya dari orang lain buruk dan tidak betul belaka. Sudah seharusnyalah segala anggapan dan tanggapan kita kepada semua masalah hendaklah dilakukan secara objektif dan jujur sejajar dengan tugas kita yang berjuang dan mencapai kebenaran dan berjuang menghayati ajaran Islam. Kita mengalu-ngalukan hasrat mana-mana pihak pun juga sekiranya mereka benar-benar hendak menjadikan parti mereka sebuah parti Islam yang mahu memperjuangkan cita-cita untuk melihat tertegaknya kedaulatan Islam di dalam Negara ini". (Dato’ Mohd. Asri Haji Muda, 1982: 5) 

Semuanya bermula dan berpunca dari Kerajaan Campuran, kemudian Kerajaan Perpaduan (UG). Hingga ke hari ini, bila wujud idea atau ura-ura kerjasama atau jalan-jalan ke arah UG, akan cepat mendapat reaksi seluruh ahli PAS. Isu Kerajaan Perpaduan (UG) telah menjadi satu perkara yang sangat sensitif kepada PAS. Orang yang paling sensitif adalah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, kerana beliau adalah Ketua Pemuda PAS pada tahun 1974, yang menjadi penyokong kuat kepada gagasan UG. Sebelum PRU13, beliau ada berkata, selagi beliau hidup, PAS tak akan bergabung dengan UMNO membentuk UG.

Pasca PRU2008, jalan jalan ke arah UG mula terhidu dan kuat bau wanginya hingga sampai ke hidung TGNA. TGNA tak tunggu lama, selaku Mursyidul Am PAS, beliau segera memanggil mesyuarat tergempar Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat pada 31 julai 2008 bagi menentukan halatuju PAS.  Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz  Hassan Ali menjadi tumpuan utama yang dikatakan sebagai perintis kepada gerakan UG. 

Pada tahun 2010, Utusan Malaysia melapurkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO kini melalui satu perubahan yang baik apabila parti itu tidak lagi menganggap agama dan politik sebagai dua perkara berbeza. Katanya, ia juga merupakan satu proses anjakan paradigma kepada UMNO. 

Kenyataan HjHadi itu mendapat perhatian besar semua masyarakat khususnya aktivis PAS. Bagi mencerahkan keadaan kusut masai tersebut, Akhbar Harakah telah memewancara Presiden Hj Hadi isu lapuran Utusan Malaysia. Kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.


Soalan: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

Jawapan: ………..Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.

Aktivis PAS yang sangat sensitif dengan idea UG, berasa sangsi mengaitkan Presiden PAS, Tok Guru Hj Hadi dengan agenda UG. Mereka melihat TGHH juga sudah "berlembut dan lunak" dengan UMNO. Kalau Dato' Asri ditolak Ucapan Dasarnya di Muktamar hanya kerana beliau setuju penubuhan Bank Islam dan UIA, kenyataan TGHH ini dilihat lebih "lembut dan lunak" kerana mengiktiraf "PERUBAHAN DASAR DAN SIKAP UMNO" yang tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik, tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Perkara ini menjadi perhatian ahli PAS kerana dalam Perhimpunan Agung UMNO selepas PRU2008, tidak pernah UMNO meluluskan apa-apa usul meminda perubahan Dasar Parti UMNO dari Nasionalis kepada Islamis. 

Dan selepas kenyataan TGHH, UMNO kembali memalukan Gendang "HUDUD" sebagai petanda awal PRU 13 semakin hampir. Bah kan kali ini isu HUDUD semakin parah apabila MCA sekutu UMNO secara terang-terangan bukan setakat menentang tetapi MENGHINA HUDUD, tetapi para pemimpin UMNO hanya "tersenyum" melihat PAS "bersilat" dengan MCA.  

Apakah PAS sudah dipatuk oleh ular yang sama dari lubang yang sama sebanyak 2 kali?


"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka". (Surah Hud:113)

1 comment: