Tuesday, August 13, 2013

Kerajaan Perpaduan VS Kerajaan Campuran


100 hari selepas PRU13, timbul kembali cerita “Kerajaan Perpaduan”. Kali ini, bukan lagi kombinasi gabungan UMNO dengan PAS, tetapi BN dengan PKR. Langitbiru langsung tidak terkejut, kerana dari awal lagi pada 22 May 2013, Langitbiru menulis dalam, blog langitbiru3.wordpress.com bertajuk “PASCA PRU 13: KERAJAAN CAMPURAN PILIHAN TERBAIK ?”

Bagaimanapun, “Kerajaan Campuran” cadangan Langitbiru adalah "Kerajaan BN dengan PR", bukannya BN dengan salah satu komponen PR.

PASCA PRU 13: KERAJAAN CAMPURAN PILIHAN TERBAIK ?

Langitbiru berasa sangat bimbang dengan perkembangan politik semasa, terutamanya sentimen API PERKAUMAN yang mula ditiup oleh pelampau parti pemerintah. Dek kerana menghadapi pelampau parti, para pemimpin parti pemerintah hendak tak hendak, sedikit sebanyak terpaksa mengikut kehendak golongan yang agresif ini. Sebelum pilihanraya, tiada siapa dari parti pemerintah berani bercakap secara terbuka perkara sensitif kerana bimbang undi nanti tergadai. Selepas pilihanraya, dengan terbentuknya “sebuah kerajaan minoriti”, atau “minoriti yang menang” membentuk sebuah kerajaan, mereka seperti “hilang akal” meroyan  dengan api perkauman ditiup dari segenap penjuru oleh orang-orang parti.

Kita lihat hari ini, amaran demi amaran dengan nada yang keras datang dari Menteri Dalam Negeri, sehinggakan terpacul dari mulutnya sebagaimana terpacul dari mulut Presiden istilah Tsunami Cina, menggesa mereka yang kononnya tidak meghormati keputusan PRU segera berhijrah keluar Negara. Rentetan itu juga timbul gesaan dari veteran parti memulau atau memboikot Cina dengan slogan “Buy Chinese Last”. DAN tidak lupa sebaik keputusan PRU13 diketahui, VVIP parti pemerintah dengan jelas tanpa berselindung menyerang parti lawan Pakatan Rakyat dan para pengundinya sebagai SANGAT RASIS.

Amat jelas keadaan sebegini tidak menguntungkan perkembangan ekonomi dan hubungan sesama kaum di Malaysia. Beberapa tindakan parti pemerintah seperti mengambil tindakan menghukum rakyat, berkonfrontasi dengan rakyat sebagai contoh Menteri Besar 17 DUN di Terengganu.   

Mana-mana di dunia bilamana berlaku pilihanraya, parti penyandang pemerintah gagal mendapat mandat yang kuat dari rakyat, keadaan Negara menjadi kurang stabil dan tidak menguntungkan Negara. Pendek kata, “permusuhan politik” berpanjangan di antara parti pemerintah yang minoriti, dengan parti pembangkang yang majoriti   akan memberi impak yang besar kepada rakyat. Seolah-olah “gajah dengan gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah”

Di Negara Barat dan Negara Maju, bilamana keadaan sedemikian berlaku, mereka berpandangan jauh meletakkan kepentingan Negara dan rakyat mendahului kepentingan parti masing-masing. Formulanya adalah SEBUAH KERAJAAN CAMPURAN?.

Langitbiru berpendapat, pemimpin parti pemerintah  yang minoriti dan parti pembangkang yang majoriti, sewajarnya duduk semeja di parlimen membincangkan dengan serius penubuhan sebuah Kerajaan Campuran demi kesejahteraan dan KELEGAAN RAKYAT. Langitbiru sangat yakin, majoriti rakyat akan merasa SANGAT LEGA terutamanya setelah mengharungi pertarungan politik yang hebat dalam jangkamasa yang lama. Rakyat yang dihimpit pelbagai masalah sebenarnya “sudah letih” dan mengimpikan sebuah Negara yang sejahtera dan harmoni.

Walaubagaimanapun, bagi Langitbiru, semuanya terserah kepada Parti Pmerintah Minoriti Yang Menang. Bola di kaki mereka. Sebagaimana hujah Langitbiru, jika mereka Minoriti Yang Menang berasa insaf dan menyedari mandat minoriti yang mereka terima dari rakyat ,mereka akan mendahulukan rakyat dan bekerjasama dengan Parti Pembangkang Yang Majoriti.   

Sudah tentu bagi Kerajaan Minoriti ini, ISU UTAMA NYA adalah Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri . Langitbiru tersangat yakin, sekali-kali Kerajaan Minoriti ini tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun. SEBABNYA, mereka telah menanam pemikiran di kalangan ahli parti mereka dengan pemikiran politik yang kotor dan bermusuhan dengan parti pembangkang. Pendek kata, mereka mengambil pendekatan “berpatah arang berkerat rotan” dengan parti pembangkang. Kerjasama sebagai Kerajaan Campuran dengan pembangkang bererti mereka “meludah ke langit”.

MEREKA MINORITI YANG MENANG SEBENARNYA MENDAHULUKAN PARTI DARI RAKYAT.

No comments:

Post a Comment