Wednesday, May 22, 2013

PAU UMNO 2013 : NAJIB AKAN SELAMAT


Selepas PRU13, ramai berkata Najib bakal dicantas pada PAU 2013 nanti. Alasannya tidak lain adalah pencapaian Najib lebih teruk dari Pak Lah pada PRU13. Pak Lah dapat 140 kerusi Parlimen. Najib dapat 133 kerusi Parlimen. Pak Lah masih dapat undi popular. Najib hilang undi popular, hanya setakat 46.8%. Tapi jangan lupa, Najib dapat 88 kerusi Parlimen UMNO, berbanding Pak Lah 79 Parlimen UMNO.Mahathir dengan sinis berkata Najib bukan sahaja Presiden UMNO tetapi Presiden BN.

Kita tinggalkan dulu soal pencapaian kerusi PRU2013. Kita kembali kepada perkara asas dan pokok parti UMNO, iaitu para pendokong ahli UMNO. Pemimpin UMNO semasa berkempen pilihanraya menyeru rakyat Malaysia KHUSUSNYA MELAYU KAMPONG, supaya jangan ubah Kerajaan BN nanti Melayu tergadai, Islam terpinggir dan ekonomi bankrap. Dalam pengertian lain, UMNO sudah sekian lama menanam di kotak fikiran Melayu dan khususnya ahli UMNO tetap setia dengan kepimpinan parti,jangan berubah. Maka orang UMNO tidak berani untuk berubah,berhijrah ke arah lebih baik kerana itu yang diajar oleh pemimpin mereka. Jangan lawan pemimpin, jangan tegur pemimpin. Sesiapa yang bercakap menegur pemimpin akan dicop sebagai menentang arus. Terus sahaja dicantas layu jatuh kebumi.

UMNO melalui agen propaganda mereka, Utusan Malaysia sangat berjaya menyemai benih kebimbangan dan ketakutan akan kehilangan kuasa UMNO di kalangan MELAYU KAMPONG. Melayu Kampong takut untuk membuat perubahan walaupun jauh di sudut hati mereka apa yang dicanangkan dan dicadangkan pembangkang itu banyak kebaikan dan kebenarannya. Kebanyakan Melayu Kampong yang masih menyokong UMNO majoritinya terdiri dari saluran satu dan dua. Kedua-dua saluran ini sudah pasti takut untuk melakukan perubahan baik perubahan kepimpinan negara, mahupun perubahan dalaman kepimpinan UMNO.

Sejarah  UMNO itu sendiri menyaksikan hanya 3 pertandingan sengit merebut kerusi Presiden. Tunku Abdul Rahman pernah ditentang oleh bekas aktivis KMM dan menang tipis. Hussain Onn pernah ditentang oleh proksi Mahathir, walaupun menang tetapi mengambil keputusan untuk berundur. Paling sengit dalam sejarah UMNO adalah PAU 1987, Mahathir lawan Ku Li. Sejak dari tahun 1946, hanya 3 pertandingan sengit berlaku. Itulah UMNO, mereka takut untuk melakukan perubahan. 

Atas dasar ketakutan dan kebimbangan ini, pendokong UMNO di kampong-kampong yang terdiri sebahagian besarnya dari saluran 1 dan 2,   yang sudah sekian lama minda dijajah oleh kepimpinan UMNO, sekali-kali tidak akan melakukan perubahan dalaman kepimpinan UMNO.  Mereka juga takut parti mereka berpecah dan lemah. Mereka juga sedar dalam budaya pertandingan UMNO,"yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu". Dengan itu mereka akan mengekalkan kepimpinan Najib. Dan Najib akan selamat. 

Realitinya, UMNO sudah hilang pengaruhnya di kawasan bandar-bandar. Presiden Najib kata Tsunami Cina. Tapi saya setuju dengan pembangkang, Tsunami Kota sebenarnya sudah berlaku. Ombak tsunami itu tidak sampai ke kampong-kampong Melayu. Lambat laun ombak tsunami itu akan sampai jua di kampong-kampong Melayu. Yang menariknya, pemimpin UMNO mula rasa tidak selesa di kota-kota, sebabnya mereka sedar majoriti orang KOTA menolak UMNO. Kiri kanan, depan belakang, bila mereka berpaling "semuanya" tunjuk muka protes kemenangan mereka. Di Kota Najib mungkin tergugat, TETAPI di kampong-kampong sangat sukar untuk menyakinkan mereka.

KESIMPULANNYA, UMNO KEKAL SEBAGAI PARTI KAMPONG 

No comments:

Post a Comment