Thursday, August 29, 2013

AHLI PARLIMEN PAS: HARGA RUMAH DAN SPEKULATOR


Kali ini Langitbiru ingin membicarakan harga rumah yang melambung tinggi, terutama sekali di bandar-bandar termasuklah Pulau Pinang. Punca kenaikan harga rumah itu banyak tetapi salah satu faktornya adalah peraturan atau undang undang kecil yang diluluskan YAB PM semasa membentangkan Bajet Belanjawan Negara. 

Seorang sahabat Langitbiru mengemukakan pandangannya ketika membicarakan ekonomi Melayu Pulau Pinang, “Jika mana-mana Melayu-Muslim di Pulau Pinang yang ada sedikit duit lebih, sangatlah rugi kalau tak melabur dalam hartanah di Pulau Pinang.” Pulau Pinang “sudah tak ada bumi” untuk buat kediaman, hatta juga bangunan komersial. Ramai yang tidak sedar bahawa Quensbay Mall  itu adalah laut yang dalam dulu, ditambak dan didirikan bangunan. Hari ini, pemaju yang besar-benar seperti IJM Property, E&O Property, SP Setia  dan banyak lagi begitu rakus menambak laut dan menarah bukit untuk tujuan membina kondominium yang super –duper mewah! Dengan bumi yang terhad, harga hartanah begitu cepat melonjak naik.

Salah satu faktor utama adalah disebabkan oleh pelabur spekulasi. Pelabur Hartanah tersangat hebat dan rancak di Pulau Pinang dan Lembah Kelang. Mereka inilah yang sebenarnya membuat spekulasi hartanah menyebabkan harga hartanah melonjak tinggi. Mereka berbuat demikian kerana peraturan dan undang-undang kecil mengenai hartanah agak longgar yang membolehkan pelabur spekulasi mengaut keuntungan yang sangat berlebihan. 

1.Salah satu cara untuk mengekang spekulasi pelabur adalah dengan meningkatkan cukai (tax) hartanah, Real property Gains Tax (RPGT). 

a. 1 Jan 1976 hingga 31 May 2003, RPGT untuk jualan hartanah dalam 2 tahun pertama adalah 30% Tahun ke 3 adalah 20%.
b. 1 jun 2003 – 31 May 2004, RPGT untuk jualan hartanah dalam 2 tahun pertama dan seterusnya adalah 0%
c. 1 Jun 2004 – 31 March 2007, RPGT untuk jualan 2 tahun pertama dinaikkan kembali kepada 30%
d. 1 April 2007 – 31 December 2009, RPGT untuk jualan pada bila-bila masa adalah 0%.
e. 1 Jan 2010 – 31 Dis 2011, RPGT untuk jualan pada bila-bila masa hanya 5%
f. 1 Jan 2012 – 31 Dis 2012, RPGT untuk 2 tahun pertama adalah 10%, dan tahun berikutnya cuma 5%
g. Mulai 1 Jan 2013, RPGT untuk 2 tahun pertama adalah 15%, tahun berikutnya 10%. 

Spekulasi hartanah dikatakan bermula pada tahun 2003, bila mana pelabur langsung tidak kenakan cukai jualan hartanah. Sebanyak mana keuntungan, bersih masuk poket pelabur! Menyedari “kesilapan” tersebut, kerajaan mengenakan kembali cukai hartanah setinggi 30% pada tahun 2004. 

Bagaimanapun, pada April 2007, RPGT kembali kepada 0%. Di sini bermulalah harga rumah semakin tahun semakin naik, kegiatan spekulasi semakin kuat hingga menguasai harga pasaran hartanah. Pada Jan 2010, RPGT sebanyak 5% sebenarnya tidak memberi apa-apa impak kepada spekulasi hartanah. Mereka masih menguasai dan menentukan harga hartanah di pasaran. Perkara ini berterusan hingga 31 Dis 2012. 

Pada Jan 2013, dengan kenaikan RPGT sebanyak 15%, pembelian hartanah oleh pelabur nampak ada sedikit menurun. Berasarkan senario ini, kenaikan RPGT kembali kepada 30% dilihat mampu mengekang kegiatan spekulator sekaligus boleh menurunkan harga rumah. 

2. Disamping RPGT yang rendah, pengenalan kepada Konsep DIBS juga merancakkan pembelian hartanah oleh pelabur-pelabur. DIBS (Developer Interest Bearing Scheme) bermakna developer menanggung sepenuhnya interest bank sepanjang tempoh pembinaan hartanah tersebut. Dengan adanya DIBS, pembeli hanya membayar harga pendahuluan (harga selebihnya melalui pinjaman bank) dan tidak perlu membayar caj progresif bulanan (ditanggung oleh developer) hinggalah dapat kunci rumah. Samada sedar atau tidak, secara langsung atau tidak, harga rumah tersebut sebenarnya sudahpun menyerap masuk “harga DIBS” tersebut. Dengan DIBS, spekolator boleh mencapai keuntungan hingga 200%. 

Perlu diingatkan bahawa salah satu punca kemerosotan ekonomi pada tahun 2012 di India dan Greece adalah kerana kejatuhan industri hartanah yang berpunca keuntungan bebas cukai,  RPGT 0%.   

Tidak syak lagi, RPGT yang rendah dan pengenalan konsep DIBS telah menarik minat pelabur dengan luarbiasa , berita yang sangat baik untuk pemaju hartanah. Kerajaan perlu membuat sesuatu yang drastik untuk mencegah kenaikan harga rumah yang melambung tinggi, hingga membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Jika perkara ini tidak ditangani dengan segera, generasi berumur 20an hingga 30an hanya mampu menyewa rumah, tidak mampu memiliki rumah. Tuan punya rumah yang kaya bertambah kaya,  penyewa yang miskin kian terhimpit!


Nasihat khusus untuk pembeli rumah Muslim.

Promosi “Early Bird”, adalah salah satu strategi sangat bijak dari pemaju. Ia seolah-olah “jualan lelong” HANYA pada satu hari pada hari pelancaran hartanah tersebut. Jangan terkejut, “Early Bird” ini boleh mencapai hingga 9% dari harga rumah. (Bagi Bumiputera, potongan 9% + 5%, bererti pembeli bumiputera mendapat 5% potongan dari harga selepas dipotong 9%)

Contoh: Harga rumah RM615,000.00. Potongan “early bird” 9% , berjumlah RM55,350. RM615,000.00 – RM55,350.00 = RM559,650.00. Potongan untuk Bumiputera 5% dari RM559,650.00 berjumlah RM27,982.50. Harga jualan untuk Bumiputera adalah RM559,650.00 – RM27,982.50 = RM531,667.50. Jumlah potongan berjumlah RM83,332.50 atau 13.55% dari harga asal. 

1% lagi ditanggung oleh pembeli. Pinjaman diluluskan 90%. Pembeli wajib bayar 10%. Dengan potongan sebanyak 9%, pembeli hanya perlu membayar 1% iaitu RM6,150 pada hari pelancaran hartanah. Dengan adanya DIBS, pembeli tidak perlu membayar apa-apa bayaran hinggalah projek hartanah tersebut siap sepenuhnya dalam masa 3 tahun dengan mendapat kunci rumah!

Bagi pembeli rumah Bumiputera yang bijak, belilah rumah pada hari pelancaran projek hartanah tersebut. Ambillah (kesempatan DIBS) 3 tahun tempoh pembinaan untuk menyimpan duit (bagi kegunaan bayaran ansuran bulanan akan datang).

Tuesday, August 27, 2013

SIAPA ANTI-ULAMA' ?

Pengertian ulama'. Kata dasarnya dalam Bahasa Arab adalah 'Alim. Jamak dari perkataan 'Alim itu adalah Ulama'. Kemudian perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu. Maka dari sudut bahasa, Ulama adalah orang yang benar-benar berilmu.

Ilmu ertinya pengetahuan. Dengan ilmu, baru boleh mengetahui dan memahami sesuatu dalam perkara masing-masing. Hidup perlu kepada ilmu sebagai panduan. Ilmu Agama Islam itu adalah satu panduan hidup yang lengkap dan sempurna yang berasaskan Quran dan Sunnah. 

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (35:28)

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ULAMA. Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Fathir, 28) 


"Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu. Berdasarkan kepada ayat Fatir: 28. di pangkal ayat Allah mengguna perkataan “Innama”. Menurut ahli nahu bahawa huruf “innama” itu ialah adaatu hasr yang ertinya “alat untuk membatas”. Sebab itu ertinya yang tepat dan jitu ialah “ hanya orang-orang yang berilmu jua yang akan merasa takut kepada Allah. Kerana kalau tidak ada ilmu tidaklah orang akan takut kepada Allah. Kerana timbulnya satu ilmu setelah diselidiki. Maka jelaslah bahawa pangkal ayat tadi Allah telah berfirman “tidakkah engkau lihat” maka kalau tidak dilihat tidaklah akan tahu. Kalau sudah dilihat dan diketahui dengan sendirinya akan mengertilah bagaimana kebesaran Allah , kekuatanya dan keagunganya, merasa dirinya kerdil di hadapan kekuasaan Allah, dengan ini akan menimbulkan takut . Kalau takut telah timbul nescaya timbullah ketundukan , lalu segala perintahnya dilaksanakan dan larangannya dihentikan." (Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), 1984: 300-301. )(idrisahmad.wordpress)

Menurut Ibn Kathir, tidak lain orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai matlamat ma’rifat, iaitu mengenali Tuhan menilik hasil kekuasaanNya dan kebesaranNya. Maha Besar, Maha Kuasa, yang Maha Berilmu yang mempunyai sifat kesempurnaan dan yang mempunyai Asma’ al-Husna. Apabila makrifat bertambah sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepadanya bertambah besar dan bertambah banyak.(idrisahmad.wordpress)

Begitu juga al-Qurtubi menyebut bahawa ulama’ ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa membalas atas maksiat yang di lakukan. Daripada Ibn. Abbas berkata ulama’ ialah yang mengetahui tentang Tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah, dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan memelihara peringatan Allah dan mengetahui bahawa semua yang dilakukan di bawah pengetahuannya. (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.) (idrisahmad.wordpress)

Al-Imam al-Maraghi ketika menafsirkan ayat dalam surah al-Fatir, Ulama’ ialah orang yang takut azab Allah dengan banyak melakukan kepadanya. Dengan ilmu yang mereka pelajari datanglah keyakinan, jika dibuat maksiat akan dibalas dengan siksa, demikian kalau dibuat baik maka mereka akan dibalas dengan syurga.

Menurut Dato’ Dr. Harun Din, perkataan ulama’ merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami Agama Islam diistilahkan dengan al-ulama’. Ada alif dan lam. Ini bererti bahawa ulama’ adalah istilah khusus yang dimaklumi bahawa hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. 


KELEBIHAN DAN KETINGGIAN DARJAT PARA ULAMA'

Terdapat banyak hadis-hadis sahih termasuk ayat-ayat Al-Quran yang menyebut ketinggian darjat para ulama'. Sudah tentu, hadis yang tak asing lagi iaialah hadis ini yang selalu disebut oleh guru-guru agama; 

"Para alim-ulama itu adalah pewaris para nabi (yakni yang meneruskan untuk menghidup-hidupkan ilmu agama serta melaksanakan syariatNya)." 

Sesuai dengan darjat ulama' sebagai pewaris Nabi, maka ganjarannya adalah syurga.

"Tidakkah engkau semua suka aku tunjukkan , siapakah semulia-mulianya ahli syurga itu? Mereka berkata: tentu saja , ya Rasulullah". Beliau bersabda, mereka itu ialah alim ulama dari umatku"

Ternyata, Rasulullah saw amat kasih dan sayang kepada para pewarisnya, ulama'

"Sesungguhnya keutamaan seseorang alim melebihi seseorang yang beribadat, adalah seperti keutamaanku melebihi orang yang terendah dari umatku"

Hatta, memandang kepada orang alim ulama' itu sudah mendapat ganjaran yang tersangat besar. 

"Sekali pandang kepada orang alim itu lebih aku sukai daripada ibadat selama setahun, berpuasa (pada siang hari setahun itu) dan mendirikan (sembahyang pada malam hari setahun tersebut)."


Ibn. Abbas menyatakan darjat ketinggian para ulama’` di atas orang Mukmin biasa adalah sekira-kira 700 tahun perjalanan dan jauh di antara satu darjat dengan darjat yang lain adalah 500 tahun. (Azzawajir 1/89). 

Perhatikan kata-kata Ibn Abbas  yang menyebut ketinggian ulama' di atas orang Mukmin (bukan orang Muslim), menunjukkan betapa tingginya darjat para 'alim ulama'.

Dengan demikian itu, Luqman Hakim pernah menasihati anaknya;

"Wahai anakkku duduklah dengan ulama’ dan rapatkan kedua lutut kamu sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan ilmu seperti menghidupkan bumi dengan turunnya hujan”


“Jangan kamu duduk bertengkar dengan ulama’ maka kelak kamu akan hina dan jangan kamu bertengkar dengan orang yang bodoh maka mereka akan memaki kamu sebaliknya kamu sabar bagi orang yang yang lebih tinggi ilmu daripada kamu dan orang yang lebih rendah ilmu daripada kamu. Maka hendaklah kamu bersama dengan ulama’ dan sabar bagi mereka dan mengambil daripada mereka ilmu” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:43.)

Kita belum tentu dinaikkan darjat oleh Allah swt dari seorang Muslim kepada seorang Mukmin. Jika kita sudah mencapai hakikat kedudukan seorang mukmin, jarak kita dengan Ulama' masih jauh, 700 tahun perjalanan. Hatta, jika kita mencapai status ahli ibadat, keutamaan ulama' itu seperti keutamaan Rasulullah saw melebihi orang yang terendah dari umatnya. Dan jangan kita lupa, Rasulullah menyebut 'alim ulama' dari umatnya adalah semulia mulia ahli syurga. 

Jika demikian, bolehkah kita menyebut seseorang mukmin itu ANTI-ULAMA' ?

Jika demikian, bolehkah juga seseorang mukmin itu mengaku, AKU ULAMA' ?




Sunday, August 25, 2013

SIAPA KHAWARIJ?

SIAPA KHAWARIJ?

Membaca tulisan demi tulisan Fathul Bari, bagi Langitbiru, amat sesuai dibuat kesimpulan pendek; 

"Kata-Kata Yang Benar DiMaksudkan Dengan Bathil".


Sekian.

Thursday, August 22, 2013

MENYUSURI AGENDA UG(PAS): MASIH WUJUDKAH MOMENTUM UG(PAS)?

Masih wujudkah Agenda UG(PAS)?

Selepas sekian lama berlalu, hari ini jelas apa yang berlaku bukan pertembungan "Profesional vs Ulamak", tetapi hakikat sebenarnya adalah rentetan kemelut "Pertembungan Ijtihad TGNA dengan TGHH" dalam soal UG(PAS).

2009, TGHH sudah menarik balik cadangan UG. Adakah ia ditarik secara mutlak, atau ditarik sementara waktu kerana ramai yang belum memahami konsep UG dan diberi harapan akan dikaji di masa depan(iaitu sehingga hari ini)?

Langitbiru dapat mencium momentum Agenda UG masih  belum padam dan masih segar! Marilah semua pemimpin-pemimpin berterus terang..........

 

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa? [TGNA]

Tugas utama pemimpin negara adalah 2 perkara, iaitu 
1.Menjaga Umat/Rakyat dan 
2.Menjaga Agama. 

Dalam bab Menjaga Umat/Rakyat ( HANYA dari segi pembangunan negara dan memajukan negara ke tahap yang lebih baik), saya fikir orangnya adalah Mahathir Mohamad. 

Dalam bab Menjaga Agama, orangnya tentu sekali adalah Nik Aziz. 

Berbalik kepada kemelut dalam kepimpinan PAS, apakah benar Nik Aziz menerima nasihat dari pihak-pihak yang berkepentingan? Apakah benar ini rentetan Bagan Pinang? Saya katakan adalah MUSTAHIL sama sekali Nik Aziz mengikut telunjuk orang-orang tertentu. Nik Aziz sudah lama dalam politik tanah air, bahkan semasa kewujudan Kerajaan Perpaduan selepas peristiwa 13 Mei 1969, Nik Aziz adalah Ketua Pemuda PAS pada masa itu, dan keperitan dipermainkan oleh UMNO selepas itu masih terasa hinggakan ke tulang hitam sampai kini. Bukan dendam kesumat terhadap UMNO, tetapi pengalaman “tidur sebantal” dengan UMNO meyakinkan bahawa orang UMNO tidak berpegang kepada janji. Janji ini adalah bukan di antara seorang individu dengan individu, tetapi satu kelompok manusia dengan kelompok manusia yang lain. Janji UMNO menjaga Agama diketepikan begitu saja setelah mendapat lebih kuasa dan lebih kuat. Natijahnya, PAS berpecah-belah kepada 2 kumpulan dan berakhir dengan penyingkiran Allahyarham Asri.

Bertitik tolak dari pengalaman permainan UMNO yang berlandaskan pemikiran Machiavelli, bukannya pemikiran Islam yang dasarnya TAQWA, Nik Aziz bermati-matian untuk menghambat keluar 2-3 kerat pemimpin PAS yang tak habis-habis mencanangkan kerjasama dengan UMNO melalui Kerajaan Perpaduan. Nik Aziz sudah nampak, implikasi momentum gerakan ini yang boleh memecahbelahkan PAS kali ke 2. Ini hakikatnya matlamat UMNO yang sememangnya terdesak buat masa ini, dan mereka kembali ketawa besar bilamana lebih berkuasa dan lebih kuat nanti. Nik Aziz sudah nampak dan rasa resapan “virus kemunafikan” ini. Jadi ini bukan soal Nik Aziz ikut nasihat dari pihak-pihak yang berkepentingan atau rentetan kekalahan di Bagan Pinang.

Soal teguran berlapik bagaikan menarik rambut dalam tepung kepada Presiden Pas, Haji Hadi, adalah peringatan Nik Aziz kepada Presiden supaya mengambil tindakan segera kepada kumpulan yang condong ke arah kewujudan Kerajaan Perpaduan. Tindakan perlu diambil dan ditangani segera sebelum terlambat, nanti tergadah. Nik Aziz mempunyai alasan yang cukup kuat sebagaimana ketetapan Muktamar PAS di Ipoh yang menolak idea Kerajaan Perpaduan dan menyokong memperkemaskan dan memantapkan kerjasama dan persefahaman dalam Pakatan Rakyat. Ini resolusi yang telah diputuskan oleh semua perwakilan, semua ahli PAS, boleh di sebut sebagai “Resolusi Ipoh”. Bertitik tolak dari itu, sebarang nada yang masih kedengaran untuk bekerjasama dengan UMNO perlu dihapuskan sama sekali, sebelum ia bertukar menjadi gelombang besar. 

Jadi gesaan EGM ini lebih kepada gimik Nik Aziz memberi pukulan TKO kepada kumpulan yang tidak mahu tunduk kepada Resolusi Ipoh, dan pandangan Nik aziz agar Haji Hadi perlu ambil langkah segera. Diringkaskan bahawa kepimpinan Haji Hadi menangani kumpulan pro-umno ini terlalu lembut dan terlalu perlahan. Perlu ketegasan dalam hal ini. 

Jadi, hakikatnya tidak timbul soal krisis kepimpinan yang teruk, atau krisis ketidakyakinan kepada kepimpinan Presiden Haji Hadi, tetapi hanya krisis soal 2-3 kerat pemimpin ini yang amat perlu didisiplinkan dan ditarbiyahkan. Sekiranya saya menjadi 2-3 kerat pemimpin yang bermasalah ini, saya akan memohon maaf secara terbuka kepada semua ahli PAS, dan sekaligus meletak jawatan dalam parti yang sekaligus menamatkan “konflik” ini dari menjadi lebih rumit. Ini adalah jalan terbaik sekiranya mereka masih sayangkan parti dan perjuangan Islam. Berundurlah secara sukarela wahai Timbalan Presiden Nasharudin, wahai Pesuruhjaya Selangor Hassan Ali, dan wahai Setiausaha Mustafa Ali. Berundurlah seketika bagi meredakan keadaan, dan kiranya kamu dipihak yang benar, InsyaAllah kamu pasti akan kembali. 

Mengadakan kerjasama dengan UMNO melalui Kerajaan Perpaduan adalah satu kesilapan yang besar. UMNO sudah terbukti GAGAL menjaga Umat/Rakyat dan terbukti GAGAL menjaga Agama. UMNO terbukti BERJAYA membuncitkan perut masing-masing yang disandarkan kepada kononnya pembangunan untuk Rakyat dan Negara. 

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa? [TGNA]
THURSDAY, OCTOBER 22, 2009

Tuesday, August 20, 2013

ASAS KE ARAH NEGARA ISLAM

"Wahai orang yang beriman, selamatkan diri dan keluargamu daripada api neraka." (Al-Tahrim 66:6)

Tidak akan tertegak Negara Islam dalam sesebuah negara selagi tidak tertegaknya islam dalam keluarga dan Masyarakat. (Muhamaad Jihad, SOLUSI ISU#49/3)

PAS: ISLAM LIBERAL, ANTI-ULAMAK, ANTI-TARBIYYAH, PARASIT, SOSIALIS…HENTIKANLAH!



Mutakhir ini, begitu banyak dalam blog-blog menggunakan label di atas kepada mereka yang tidak sependapat dan sehaluan dengan kumpulan masing-masing. Blog-blog ini majoritinya pula dari para Pemuda PAS yang mendapat pendidikan rendah, tinggi dan tertinggi dalam agama. Tertanya juga bagaimana mereka yang berpendidikan agama sanggup melontar kecaman yang sangat keras kepada rakan taulan seperjuangan dalam parti. 

Tidak kurang juga lidah mereka dengan ringan dan lancar menyebut munafik sesama ahli. Dalam Al-Quran, perkataan munafik lebih banyak disebut berbanding perkataan kafir. Dan kaum munafik dan ka fir itu Neraka Jahanam  balasannya. Jibrail a.s ketika mengajar Nabi saw 7 jenis neraka, bila sampai ke neraka ke 7, yakni neraka Jahannam, Jibrail a.s terdiam sehingga Nabi saw bertanya kepada Jibrail a.s. Kata Jibrail a.s Neraka Jahannam itu khusus untuk umat Nabi Muhammad saw, adalah neraka yang paling hebat seksaannya. Menangislah Rasulullah saw, kerana Neraka Jahannam itu untuk khusus umatnya. Menyebut si polan bin si polan itu munafik sama maknanya menyebut si polan itu ahli Neraka Jahannam.  
  
Langitbiru tidak mempunyai ilmu agama yang tinggi untuk memunafikkan sesiapa. Juga tidak pernah menyebut si polan sesat, syiah, pro-sosialis dan apa jua gelaran yang sememangnya bersalahan dengan ajaran Islam. 

Dr Yusuf Al Qaradawi pernah menyebut, Islam itu tiada lain melainkan Islam yang satu satunya diajar oleh Rasulullah saw kepada satu golongan yang keimanan dan ketaqwaan mereka adalah terbaik sepanjang zaman iaitu para Sahabat Rasulullah saw. Tambahan kepada Islam itu sebenarnya agenda jahat musush-musush Islam untuk memecahbelahkan Islam. Lahirlah perbagai istilah kepada Islam seperti Islam Liberal, Islam Fundamentalis, Islam Konservatif bahkan Islam itu juga dikaitkan dengan pembahagian geografi seperti Islam Indonesia, Islam Pakistan seolah-olah Islam itu bukan yang satu yang diajar oleh Rasulullah saw, tetapi terdapat banyak Islam.

Hari ini, akibat perbezaan pendapat, bukan berbeza dari segi hukum hakam agama, tetapi berbeza pendapat dari segi percaturan, strategi, dan pendekatan politik maka satu golongan ini digelar dengan pelbagai nama yang sangat mengaibkan seolah-olah mereka ini tiada pegangan akidah Islam. Ironinya, gelaran itu diselang seli pula dengan hadis sahih dan ayat suci Al-Quran sebagai penguat hujah ke atas golongan tersebut.
Langitbiru pernah menulis dalam tajuk KEMUNCAK PERTEMBUNGAN ULAMA DAN PROFESIONAL DALAM PAS?

“Seperkara Langitbiru mahu perkatakan, pertimbangan, strategi dan percaturan politik selagi tetap berada pada landasan Syariat, kekuatan,pengalaman dan kebijaksanaan akal menjadi penentu kepada segala keputusan politik. Saya yakin dan percaya, golongan professional dan bukan ulama sekali-kali tidak mepertikaikan ilmu agama para ulama dalam apa jua hal agama, tetapi dalam strategi politik ianya mungkin berbeza.  Seharusnya sejarah Peperangan Badar menjadi iktibar kepada kita Jemaah Islam. 

Ketika kaum Muslimin berhenti di suatu tempat di lembah Badar, sahabat Rasulullah saw, Khubab ibnul Munzir berkata kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, adakah tempat yang kami berada ini suatu tempat yang ditunjukkan oleh Allah yang kami tidak dapat melanggarnya sedikit pun ataukah hanya tempat yang engkau pilih mengikut pendapatmu sendiri dan taktikmu?

 Jawab Nabi saw: “Tempat ini ku pilih menurut fikiranku”

Jawab Khubab: “Tempat ini tidak strategik untuk berperang”. Kemudian dia menunjukkan tempat yang lebih strategik. Anjuran Khubab itu disambut oleh Rasulullah dengan gembira sekali dan segera baginda bangkit menuju ketempat yang ditunjukkan oleh Khubab yang mana merupakan tempat yang lebih dekat dari sumber air dari kaum Quraisy”. 

Walaupun blogger-blogger menggunakan istilah umum golongan anti-tarbiyyah, anti-ulamak dan sebagainya, namum para pendukung parti segera faham yang dimaksudkan adalah pimpinan peringkat pusat dan negeri dari kalangan bukan Ulamak.  Dari Timbalan Presiden PAS, hinggakan semua AJK PAS Pusat diserang bertubi-tubi dalam blog, FB, dan ruang siber tanpa sempadan. Husam diucapkan tahniah kerana memberi kemenangan kepada UMNO dalam PRK Kuala Besut. Bila Prof Agus mengkritik Kerajaan Negeri Kelantan, dengan pantas dan cepat mereka mempersoalkan sejauh mana hubungan Prof Agus dengan Husam. Apakah sebegitu buruk pegangan Husam dan Prof Agus? Seolah-olah golongan Pemuda berpendidikan agama ini mendapat lesen boleh menyerang Kepimpinan PAS bukan Ulamak sesuka hati tanpa ada rasa hormat, “wala” jauh sekali!

Hari ini, mana-mana golongan professional bercakap mengenai parti akan cepat dilabel seperti label di atas. Meskipun Setiausaha Dewan Ulama, Dr Khairudin At-Takiri menyebut, ini bukan pertembungan Ulama vs Profesional, tetapi pertembungan Ulamak vs Anti-Ulamak, Ulamak vs Anti-Tarbiyyah, tapi penulisan di ruang siber dan percakapan si pentas ceramah tidak menunjukkan apa yang dimaksudkan oleh SU Dewan Ulamak. Hentikanlah semua label-label ini ke atas golongan yang “mengkritik” Kepimpinan Parti. 

Mengkritik dan berbeza pendapat itu satu lumrah lebih-lebih dalam politik. Jika Kepimpinan langsung tidak boleh dikritik dengan alasan mereka (Kepimpinan) mampu berijtihad, dan segala Ijtihad wajib dipatuhi, jadi di mana ruang untuk kita bersuara?

Jika sedemikian, PAS lebih teruk dari UMNO. Sekurang-kurangnya dalam UMNO, mengkritik Kepimpinan itu “dipancung, dicantas”   jalan politik mereka , tetapi dalam PAS terus sahaja dilabel Anti-ulamak, Anti-tarbiyyah, Islam liberal dan Munafik yang semua gelaran ini bermaksud akidah mereka boleh tergelincir!
Hentikanlah segala label-label ini. Ianya tidak membawa PAS maju setapak atau seinci ke hadapan, tetapi PAS makin dilihat kembali menjadi konservatif dan ekstreme!

Wallahualam